PBB puji langkah ESSCom

PBB puji langkah ESSCom

LAHAD DATU, 1 Okt (Bernama) – Penasihat Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Rakhi Sahi memuji langkah proaktif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam menguruskan isu keselamatan termasuk menangani jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau berkata melalui kaedah penyelarasan serta kerjasama padu yang ditunjukkan agensi dalam ESSCom yang terdiri daripada polis, tentera dan Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (APMM), ESSZone akan lebih selamat dan terkawal.

“Saya yakin dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua komponen ESSCom yang sentiasa mampu memastikan semua operasi keselamatan yang dilakukan berjalan lancar.

“Usaha berterusan ESSCom untuk mengekalkan keamanan perlu mendapat pujian semua pihak untuk mempertingkatkan motivasi dan semangat juang warga ESSCom,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena lawatan beliau ke Ibu Pejabat ESSCom, di sini, Khamis.

Terdahulu ketibaan Rakhi disambut oleh Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun dan pegawai-pegawai kanan ESSCom.

Rombongan kemudian diberikan taklimat ringkas mengenai perkembangan terkini keselamatan ESSZone termasuk perancangan serta strategi terkini ESSCom dalam menangani isu jenayah rentas sempadan seperti kes-kes penculikan, penyeludupan dan isu pendatang asing tanpa izin yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Staf 1, Pusat Operasi ESSCom (PUSOP) Kol. Nahar Azmi Mahmud.