PBB puji usaha ASEAN perangi rasuah

PBB puji usaha ASEAN perangi rasuah

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) – Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) mendapati komitmen ASEAN untuk memerangi rasuah meningkat dalam tempoh 10 tahun lepas apabila kebanyakan negara anggotanya menubuhkan agensi pencegahan rasuah.

Penasihat Pencegahan Rasuah Serantau UNDP bagi Asia Pasifik, Elodie Beth berkata komitmen itu juga dapat dilihat melalui langkah negara berkenaan memperuntukkan dana bagi penganjuran kempen kesedaran untuk mendidik orang ramai tentang bahaya penipuan.

“Jika dibandingkan dengan 10 tahun lepas, terdapat beberapa penambahbaikan yang dilakukan negara anggota ASEAN dalam memerangi rasuah serta komitmen mereka dalam pelaburan untuk pencegahan rasuah,” katanya.

Elodie Beth ketika mengendalikan bengkel sempena Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kelmarin. – Bernama
Elodie Beth ketika mengendalikan bengkel sempena Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kelmarin. – Bernama

Beth berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri bengkel bertajuk ‘Menilai Risiko Rasuah Dalam Badan Kehakiman: Apakah Peranan Masyarakat”, yang diadakan bersempena Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 di sini hari ini.

Katanya, berikutan kemajuan pesat ekonomi dan cadangan penubuhan Komuniti ASEAN, terdapat tekanan di rantau ini untuk mewujudkan komuniti berintegriti dan untuk mengekang aktiviti penjenayah.

“Kita dapat melihat kemajuan yang dicapai dalam membasmi rasuah, sekurang-kurangnya dari segi pemikiran. Banyak negara sudah menubuhkan agensi pencegahan rasuah dan mereka mendapat sokongan daripada orang ramai,” katanya. Persidangan tiga hari itu, yang bermula Rabu, berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini dan dihadiri kira-kira 1,000 wakil dari 130 negara.