PBB sebulat suara sokong sekatan baru ke atas Korea U

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, Amerika Syarikat, 12 Sept – Majlis Keselamatan PBB sebulat suara mengenakan sekatan baru ke atas Korea Utara, mengharamkan eksport tekstil dan mengehadkan penghantaran produk minyak untuk menghukum Pyongyang atas ujian nuklear keenam dan terbesarnya.

Resolusi itu, diluluskan selepas Washington melembutkan cadangan asalnya untuk memperoleh sokongan dari China dan Rusia, dikeluarkan sebulan selepas majlis mengharamkan eksport arang batu, plumbum dan makanan laut sebagai respons kepada pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) oleh Korea Utara.

Duta AS Nikki Haley berkata langkah baru itu merupakan satu mesej kepada Pyongyang bahawa “dunia tidak akan menerima Korea Utara yang bersenjatakan nuklear,” tetapi beliau juga menawarkan prospek penyelesaian aman kepada krisis yang dihadapi.

Gambar yang diambil pada 11 September menunjukkan polis separa tentera China mengawal ketika trak membawa barangan dari Korea Utara menyeberang ke Jambatan Persahabatan yang menghubungkan China dan Korea Utara, dilihat dari Dandong di wilayah Liaoning, timur laut China. – AP

“Kami bukan mencari peperangan. Rejim Korea Utara masih belum mencecah tahap tiada balikkan,” beritahu Haley kepada majlis, menambah: “Jika Korea Utara meneruskan haluannya, kami akan meneruskan dengan tekanan selanjutnya. Mereka yang akan membuat pilihan.” Ketika rundingan, AS membatalkan permintaan mengenakan sekatan minyak sepenuhnya dan pembekuan aset asing milik pemimpin Kim Jong-Un.

Sebaliknya resolusi mengharamkan perniagaan dalam tekstil, memutuskan penghantaran gas asli ke Korea Utara, mengenakan had maksimum ke atas penyerahan produk minyak dan hantaran minyak mentah pada tahap sekarang.

Ia melarang negara-negara lain mengeluarkan permit kerja baru kepada pekerja Korea Utara yang dihantar ke luar negara – terdapat kira-kira 93,000 orang, memberikan rejim Kim dengan sumber pendapatan untuk memajukan program peluru berpandu dan nuklearnya, menurut pegawai AS yang rapat dengan rundingan. – AFP