PBB sokong interaksi antara Korea

NEW YORK, 11 Jan – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengalu-alukan interaksi terkini berkaitan Semenanjung Korea namun tetap mengekalkan sekatan terhadap Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua.

“Anggota Majlis Keselamatan mengalu-alukan langkah terkini serta komunikasi yang berlaku antara Korea Utara dan Korea Selatan,” kata Duta Kazakhstan ke PBB, Kairat Umarov, yang bertindak sebagai Presiden bergilir Majlis Keselamatan untuk bulan ini, kepada pemberita selepas rundingan tertutup majlis itu.

“Anggota majlis berkata dialog awal sedemikian antara kedua-dua negara Korea boleh membuka peluang dalam membina keyakinan dan kepercayaan di Semenanjung Korea dalam usaha mengurangkan ketegangan selain memacu ke arah pembasmian senjata nuklear,” katanya.

Mereka telah melahirkan harapan agar interaksi sedemikian akan membawa ke arah pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea, katanya.

Meskipun perkembangan itu adalah sesuatu yang positif, Majlis Keselamatan tidak akan berganjak daripada keputusannya mengenakan sekatan terhadap Korea Utara berikutan program senjata nuklear dan peluru berpandunya.

“Anggota Majlis Keselamatan mengulangi bahawa Korea Utara dan semua negara anggota yang lain hendaklah secara komprehensif dan tegas melaksanakan semua resolusi Majlis Keselamatan yang relevan,” kata Umarov.

Korea Utara dan Korea Selatan kelmarin telah memulakan rundingan peringkat tinggi, yang pertama seumpamanya dalam tempoh dua tahun, di Perkampungan Perdamaian Panmunjom yang menyaksikan kawalan ketat di sempadan kedua-dua negara.

Satu kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan selepas dialog itu menyebut Korea Utara bersetuju menghantar delegasi ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, yang bermula pada Februari di daerah Pyeongchang di timur Korea Selatan, dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2018 pada bulan Mac. – Bernama