PBB syor kewangan sosial Islam

PBB syor kewangan sosial Islam

NEW YORK, 17 Jan – Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan menjadikan kewangan sosial Islam dan zakat sebagai antara cara mencari sumber kewangan baharu untuk operasi bantuan bernilai berbilion dolar.

Laporan yang disiarkan di Dubai itu juga mengesyorkan cukai sukarela ke atas pertandingan bola sepak atau konsert untuk mengutip dana selain memperbaiki ketelusan operasi bantuan untuk mengurangkan kos.

Peperangan dan bencana alam sejak sedekad lalu menjadikan usaha bantuan global badan dunia itu meningkat mendadak, daripada AS$2 bilion pada 2000 kepada AS$ 24.5 bilion, pada 2015, menurut sembilan pakar yang merangka laporan.

Seorang daripada ahli panel itu ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Pada masa sama, PBB bergelut memenuhi rayuan mendapatkan dana.

Tahun lalu, kekurangan dana memaksa agensi PBB mengurangkan bekalan makanan kepada 1.6 juta rakyat Syria di kem pelarian, tindakan yang kini dilihat antara punca mencetuskan kebanjiran pelarian di Eropah.

“Dunia tidak pernah menjadi begitu murah hati tetapi belum mencukupi,” kata Pesuruhjaya Eropah, Kristalina Georgieva, yang mempengerusikan panel itu bersama-sama Sultan Nazrin. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA