PBB tampil 10 muka baru p’raya negeri Sarawak

PBB tampil 10 muka baru p’raya negeri Sarawak

 

KUCHING, 6 Dis – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bertanding 40 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 akan datang.

Selain itu, PBB, selaku parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sarawak, mengesahkan akan menampilkan 10 muka baru termasuk lima bagi 11 kerusi baharu DUN.

Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem berkata calon muka baharu itu adalah bagi menggantikan penyandang kerusi DUN yang telah menyatakan hasrat untuk bersara.

Mengenai 11 kerusi DUN baru, katanya walaupun PBB boleh mendapat lebih lima kerusi tersebut berdasarkan bilangan besar anggota parti serta sokongan namun telah memutuskan untuk menagihkan kerusi tambahan itu kepada parti komponen BN yang lain.

Adenan, yang juga Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB, di sini hari ini.

Tan Sri Adenan Satem (kanan) merangkap Presiden PBB hadir mempengerusikan Mesyuarat ‘Pre-Council’ PBB di Ibu Pejabat parti itu, hari ini. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar (kiri).  - Bernama
Tan Sri Adenan Satem (kanan) merangkap Presiden PBB hadir mempengerusikan Mesyuarat ‘Pre-Council’ PBB di Ibu Pejabat parti itu, hari ini. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar (kiri). – Bernama

Buat masa sekarang, empat parti komponen BN Sarawak ialah PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Dalam PRN lepas pada April 2011, PBB diagihkan 35 kerusi, SUPP (19), PRS (9) dan SPDP (8).

Susulan persempadanan semula bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri bagi Sarawak, menyaksikan jumlah 82 kerusi DUN berbanding 71 sebelum ini.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Adenan membayangkan PRN sudah semakin hampir apabila dengan jelas menyebut persidangan DUN mulai esok merupakan sidang terakhir sebelum pilihan raya negeri itu.

Apabila ditanya mengenai spekulasi bahawa PRN mungkin diadakan pada Mac depan, katanya: “Anda boleh memilih untuk mempercayai khabar angin ini atau sebaliknya.”

Menurutnya penggal bagi DUN Sarawak akan berakhir secara automatik pada 20 Jun tahun depan dan pilihan raya negeri perlu diadakan sebelum tarikh itu.

Mengenai krisis parti seripihan dan mesra BN, iaitu SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta SPDP dengan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Adenan berkata isu tersebut akan akhirnya diselesaikan sebelum hari pencalonan.

Beliau turut menyatakan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB itu membincangkan persediaan bagi menghadapi PRN akan datang serta melakarkan carta tugasan untuk beberapa pemimpin kanan parti.

“Kami menubuhkan 12 jawatankuasa bagi mengurus kempen pilihan raya untuk PBB dan ia diketuai oleh Tan Sri Alfred Jabu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan beberapa anggota kanan parti,” katanya.

Adenan juga berkata mesyuarat pra-majlis BN yang dipengerusikannya pagi ini turut membincangkan usul-usul yang cuba diperkenalkan oleh pembangkang pada persidangan DUN kali ini.

“Kami mempunyai beberapa kejutan untuk pembangkang yang mereka tidak mungkin menjangka. Persidangan kali ini akan hanya membahaskan rang undang-undang perbekalan 2016,” katanya.  – Bernama