PBB undi setiausaha agung baru secara rahsia

PBB undi setiausaha agung baru secara rahsia

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BER-SATU (PBB), Amerika Syarikat (AS), 20 Julai – Selepas berbulan-bulan kempen awam, perdebatan dan penjelasan terbuka, duta-duta Majlis Keselamatan akan berkumpul secara tertutup esok (Khamis) untuk memulakan pengundian rahsia bagi setiausaha agung baru untuk menerajui badan dunia itu.

Seramai 15 anggota majlis termasuklah lima anggota tetap berpengaruh – Britain, China, Perancis, Rusia dan AS – setiapnya akan menilai 12 calon yang bertanding bagi jawatan tertinggi itu dengan undi bertanda ‘menggalakkan’, ‘tidak menggalakkan’ atau ‘tidak ada pendapat’.

Keputusan pusingan pertama pengundian tidak akan diumumkan, tetapi ia akan disampaikan kepada kerajaan-kerajaan yang telah mengemukakan calon untuk menggantikan Ban Ki-moon pada Januari depan.

Antara pesaing-pesaing utama adalah Menteri Luar Argentina, Susana Malcorra; bekas presiden Slovenia Danilo Turk; bekas perdana menteri New Zealand, Helen Clark; dan Antonio Guterres, yang pernah menjadi perdana menteri Portugal dan menerajui agensi pelarian PBB.

Enam dari 12 calon adalah wanita. Kebanyakan pesaing iaitu lapan orang adalah dari Eropah timur.

Undian rahsia menyusuli proses baru yang lebih terbuka yang mana kali pertama dalam sejarah PBB membenarkan penerangan-penerangan untuk membolehkan para calon menyampaikan kempen bagi jawatan tertinggi di hadapan Perhimpunan Agung.

Negara-negara anggota PBB telah merungut selama bertahun-tahun bahawa setiausaha agung dipilih bukan kerana kemampuannya untuk menerajui badan dunia tetapi untuk berkhidmat untuk lima anggota tetap.

Salah satu pengkempen paling bertenaga dalam persaingan ini, Clark berkata ketelusan baru telah membolehkan ‘jenis calon yang berbeza’ untuk muncul, dengan kurang penekanan pada latar belakang diplomatik.

“Proses ini membawa kepada lebih banyak pengalaman kepimpinan dan pengalaman penyampaian,” Clark memberitahu AFP sebelum pengundian. – AFP