PBBM belum menerima rayuan Sazali

PBBM belum menerima rayuan Sazali

KUALA LUMPUR, 1 Jun (BH) – Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) masih belum menerima surat rayuan rasmi daripada ikon bina badan negara, Sazali Samad, yang digantung empat tahun selepas didapati gagal dalam ujian doping oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lalu.

Mr Universe dan Mr Asia berusia 48 tahun itu mempunyai hak untuk merayu dalam tempoh 21 hari bermula tarikh dia dijatuhkan hukuman pada 21 Disember dengan tarikh akhir rayuan dijangka pada 10 Januari ini.

“Sazali masih belum menghantar surat rayuan rasmi lagi kepada kita (PBBM). Apa pun kami masih menanti serta mengalu-alukan apa jua yang ingin dibuatnya, saya pun sudah memaklumkan kepadanya mengenai hal ini.

“Walaupun dia baru lepas pulang bercuti, kita tetap menanti kerana saya rasa dia akan buat rayuan ini. Sazali tidak akan rugi apa-apa, sekurang-kurangnya dia mencuba daripada terus mendiamkan diri,” kata Setiausaha Kehormatnya, Kamaruzaman Kadir ketika dihubungi BH Sukan.

Katanya, Sazali sudah menghantar satu surat kepada PBBM ketika mesyuarat badan induk itu sebelum ini, tetapi ia tidak lengkap.

Beberapa hari selepas dijatuhkan hukuman, Sazali memaklumkan akan membuat rayuan, namun ketika itu dia menyatakan fikirannya masih lagi bercelaru kerana masih bercuti selain memerlukan sedikit masa.

Bagaimanapun minggu ini, atlet berusia 48 tahun itu membuat pendedahan bahawa dia tidak akan bersara dan meneruskan latihan seperti biasa kerana sukan bina badan sudah sebati dengannya.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, kini semuanya terpulang kepada Sazali dan PBBM sedia memberikan tempoh kepada Olahragawan Kebangsaan 2014 itu untuk berfikir dan mereka tiada hak memaksanya.

“Kita tunggu dalam masa terdekat dan kami tidak mahu memaksanya kerana perkara ini memerlukan kerelaan hati, tidak ada guna memaksa kerana jika mudah bagi dia, maka mudah bagi kami kerana dia masih ada masa,” katanya yang memaklumkan pihaknya mengambil serius perkara itu serta akan bermesyuarat pada bila-bila masa selepas mendapat maklum balas dari Sazali.

ARTIKEL YANG SAMA