PBC & MAS perbaharu peraturan swap mata wang

PBC & MAS perbaharu peraturan swap mata wang

SINGAPURA, 15 Mac (Bernama) – People’s Bank of China (PBC) dan pihak berkuasa kewangan Singapura (MAS) memperbaharu peraturan swap mata wang dua hala (BCSA) sedia ada untuk tempoh tiga tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAS berkata peraturan baharu itu berkuat kuasa 7 Mac, 2016. Peraturan asal dilaksanakan pada 2010 dan diperbaharui pada 2013.

MAS berkata BCSA merupakan tunggak utama kerjasama antara PBC yang bermatlamat memperkukuh daya tahan ekonomi serta kestabilan kewangan serantau.

Ia bertujuan meningkatkan keyakinan bank dalam melaksanakan perniagaan di kedua-dua pasaran dan membolehkan bank pusat masing-masing menyediakan mudah tunai mata wang asing bagi menstabilkan pasaran kewangan.

Mengikut peraturan itu, MAS menyediakan 300 bilion yuan atau RM150 bilion mudah tunai dalam Yuan China untuk institusi yang layak dan beroperasi di Singapura.

Bagi Malaysia, PBC dan Bank Negara Malaysia menandatangani perjanjian pada April tahun lepas bagi memperbaharu peraturan swap mata wang untuk tempoh tiga tahun, dengan saiz dikekalkan pada 180 bilion yuan atau RM90 bilion. Peraturan asal dimeterai pada 2009 dan diperbaharui pada 2012.

ARTIKEL YANG SAMA