PBCTA ke-11 bermula

PBCTA ke-11 bermula

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan meneruskan lagi pengendalian Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) ke-11, yang bermula hari ini dengan Fasa 1: Kem Kenegaraan Belia yang berlangsung di Pusat Belia, di ibu negara.

Seramai 40 orang belia, 23 lelaki dan 17 perempuan yang belum bekerja dan tidak lagi bersekolah, berumur antara 18 hingga 30 tahun, dari keempat-empat daerah menyertai program berkenaan, dengan 15 daripadanya dari Daerah Brunei dan Muara, sembilan dari Daerah Tutong, sembilan dari Daerah Belait dan tujuh lagi dari Daerah Temburong.

Program pagi tadi dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Kegiatan Luar, Awang Amirul Syazmie bin Ibrahim dan Penolong Setiausaha, Dayang Norulhoda binti Mohd Iskandar.

Dalam fasa 1 ini, para peserta akan tinggal di asrama selama tiga hari dua malam di Pusat Belia di ibu negara, di mana terdapat empat komponen penting diserapkan dalam merancang jenis aktiviti bagi kem kenegaraan, iaitu kepimpinan, sukarelawan & kemasyarakatan, keagamaan & kerohanian, dan sukan & riadah.

Antara para belia yang mengikuti PBCTA ke-11 tersebut.
Antara para belia yang mengikuti PBCTA ke-11 tersebut.
Awang Amirul Syazmie ketika menyampaikan taklimat kepada para peserta yang terlibat.
Awang Amirul Syazmie ketika menyampaikan taklimat kepada para peserta yang terlibat.

Para peserta akan menjalani pelbagai aktiviti seperti ‘Ice Breaking’, pembangunan pasukan, memburu harta karun patriotik, berkawad dan menaikkan bendera, aktiviti penghayatan konsep MIB, perkongsian pengalaman bersama bekas penerima anugerah khidmat belia dan sukarelawan belia, serta pelbagai lagi bagi mencapai matlamat keempat-empat komponen tersebut.

Selain fasa ini, PBCTA juga akan dijalankan dalam dua fasa yang lain dan beberapa acara sampingan, iaitu Fasa 2: Pelaksanaan Projek, Fasa 3 : Menyertai Perbarisan Lalu Sambutan Hari Kebangsaan ke-32, Majlis Khatam Al-Quran 32 Kali sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-32 serta Malam Penghargaan PBCTA11.

Objektif PBCTA ini diadakan adalah untuk meningkatkan lagi semangat kenegaraan dan kekitaan dalam kalangan belia dan masyarakat, meningkatkan nilai-nilai hidup bermasyarakat, beragama, bernegara serta berpasukan.

Selain itu, ia juga sebagai satu mekanisme dalam membimbing para belia untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan yang bersifat kenegaraan dan suka rela, serta untuk menyemarakkan semangat setia kawan, bergotong-royong dan saling bantu di antara satu sama lain.

ARTIKEL YANG SAMA