PBDB FT akhiri Liga Futsal Brunei

PBDB FT akhiri Liga Futsal Brunei

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – PBDB FT menamatkan kempen Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 dengan mengumpul 19 mata dengan tambahan tiga mata yang diperolehinya dari perlawanan terakhirnya menewaskan Pega Star FT 5-4.

PBDB FT bangkit dari ketinggalan 3-4 dengan dua gol pada sepuluh minit terakhir perlawanan untuk menidakkan Pega Star FT tiga mata yang membolehkannya melonjak dari tangga kelapan ke tangga keenam liga.

Jaringan pertama perlawanan sengit di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu hanya hadir selepas sepuluh minit perlawanan yang dijaringkan oleh Abee Sahrum untuk PBDB FT pada minit ke-11.

Tiga minit berselang kedudukan menjadi 1-1 setelah Awangku Md Khairul Yazid menemui sasarannya di gawang PBDB FT, dan tatkala kedudukan itu dijangka kekal sehingga separuh masa pertama selesai, Awangku Md Azizul Hakim menjadikan kedudukan 2-1 buat Pega Star FT mendahului pula.

Hanya seminit di separuh masa kedua, kedudukan terikat semula menerusi jaringan penyamaan Hairul Azwan dan seminit selepas itu Abee Sahrum membawa PBDB FT ke depan dengan jaringan 3-2 menerusi rembatannya yang menggegar gawang Pega Star FT.

PBDB FT (jingga putih) menamatkan kempen BFL2015 dengan kemenangan 5-4 ke atas Pega Star FT (kuning).
PBDB FT (jingga putih) menamatkan kempen BFL2015 dengan kemenangan 5-4 ke atas Pega Star FT (kuning).

Md Rosdiny tidak membiarkan pendahuluan itu berlangsung lama apabila dia pula mencatatkan namanya dalam senarai penjaring seminit kemudian untuk kedudukan berubah menjadi 3-3.

Pega Star FT mendapatkan gol keempatnya pada minit ke-28 untuk gilirannya pula mendahului perlawanan, 4-3, dengan gol itu dijaringkan oleh Md Hafizul Hayat.

Perlawanan terus berlangsung sengit sehingga PBDB berjaya mengimbangi semula perlawanan menerusi jaringan Nazirul Haziq pada minit ke-30 untuk kedudukan 4-4.

Abee Sahrum mencatat hatriknya pada minit ke-33 dan walaupun perlawanan masih berbaki tujuh minit, golnya itu menjadi gol terakhir perlawanan sekaligus menjadi gol kemenangan PBDB FT.

PBDB FT mengesahkan kedudukannya di tangga kelima, dua mata di belakang Shah United FC dan MS ABDB yang masih berbaki satu perlawanan iaitu pertemuan antara keduanya pada 2 Jun ini di Dewan Serbaguna KSNHB bermula pukul 8:00 malam. Pega Star FT pula kekal di tempat kelapan dengan 10 mata.

ARTIKEL YANG SAMA