PBDB FT terus langkah kanan

PBDB FT terus langkah kanan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – PBDB FT yang minggu lalu mengejutkan Shah United FC 6-5, meneruskan momentum kemenangannya apabila minggu ini berjaya mengalahkan First Five FT 5-3.

Aksi Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menyaksikan First Five FT bermula sempurna dengan ledakan gol seawal minit pertama.

Tetapi gol sendiri pemain First Five FT pada minit ke-5 menjadikan kedudukan 1-1 dan kealpaan pemain First Five FT akibat daripada gol sendiri itu dua minit kemudian diambil sebaiknya oleh Abdul Azim untuk membawa PBDB FT di depan, 2-1.

Hanya seminit separuh masa kedua bermula, First Five FT berjaya mengimbangi semula perlawanan dengan penghasilan gol penyamaan oleh Mohd Amirul dan First Five FT dilihat mula mengawal perlawanan dengan ledakan gol pendahuluan 3-2 seminit berselang menerusi jaringan Abdul Muaz.

Pertembungan sengit PBDB FT dengan First Five FT (hitam) yang dimenangi PBDB FT 5-3.
Pertembungan sengit PBDB FT dengan First Five FT (hitam) yang dimenangi PBDB FT 5-3.

Perlawanan menjadi bertambah menarik apabila hanya seminit selepas ketinggalan 2-3, PBDB FT berjaya mengikat kedudukan 3-3 hasil jaringan Ismail dan tiga minit kemudian iaitu pada minit ke-26, giliran PBDB FT mendahului perlawanan dengan jaringan 4-3 melalui jaringan kedua peribadi Abdul Azim.

Mohd Hafiy meledak gol kelima PBDB FT pada minit ke-29 bagi memberikan keselesaan mendahului dua gol dan ternyata sebelas minit baki perlawanan berlangsung tanpa ada gol lagi berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan untuk memuktamadkan keputusan 5-3 memihak PBDB FT.

Dalam satu lagi perlawanan, Shah United kembali mengecapi kemenangan selepas dikejutkan PBDB FT 5-6 minggu lalu apabila minggu ini menang 8-4 ke atas BIO FT untuk merapatkan jumlah matanya kepada tiga saja di belakang pendahulu, Kota Junior yang mengumpul 24 mata tatkala kedua-dua pasukan sudah bermain lapan kali.

ARTIKEL YANG SAMA