PBS beri penghargaan kepada Najib bagi perpaduan, pembangunan pesat di Sabah

PBS beri penghargaan kepada Najib bagi perpaduan, pembangunan pesat di Sabah

LABUAN, 7 Sept (Bernama) – Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menurutnya telah membawa perpaduan lebih jitu dan pembangunan pesat di Sabah and Sarawak.

Beliau berkata Najib telah berbuat banyak untuk Sabah dan Sarawak.

“Di bawah kepimpinan beliau, Barisan Nasional telah menjadi gabungan yang berjaya dan membolehkan parti-parti mewakili semua kaum berbincang dan menyelesaikan masalah-masalah,” katanya pada mesyuarat agung tahunan PBS Bahagian Labuan di sini, semalam.

Beliau berkata parti akan terus bekerjasama dengan Najib untuk membangunkan Sabah dan untuk perpaduan rakyat.

Ongkili berkata selepas Najib menjadi perdana menteri, beliau membenarkan kebebasan untuk bersuara (dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri).

“Kita perlu memulihara perpaduan negara dan keamanan di negara ini; mencegah sebarang ancaman terhadap perpaduan negara dan elemen-elemen yang berpotensi untuk mewujudkan polarisasi kaum dan pemisahan persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa perjuangan teras PBS ialah untuk mewujudkan Malaysia yang bersatu dan pada masa sama terus memperjuangkan hak negeri dan bagi persekutuan Malaysia.

“PBS berjuang bagi pemeliharaan bangsa Malaysia dan, walaupun kami mungkin tidak sentiasa bersetuju tentang bagaimana negara ini perlu dibangunkan, kami senantiasa setia kepada perjuangan kami bagi Malaysia yang lebih baik. PBS akan kekal setia dengan perjuangannya bagi hak negeri Sabah dan bagi persekutuan Malaysia,” katanya.

Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata perbuatan membakar bendera dan memijak gambar pemimpin negara pada perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini bukan budaya Malaysia.

“Kita perlu berwaspada dengan perbuatan seumpama itu dan tidak membenarkannya menjadi budaya kita,” katanya.