PBSM anjur Kursus Asas Latihan Sokongan Nyawa

PBSM anjur Kursus Asas Latihan Sokongan Nyawa

Oleh Hajah Saemah

KUALA BELAIT, 29 Jan – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) telah menganjurkan Kursus Asas Latihan Sokongan Nyawa untuk meningkatkan kemahiran kalangan ahli-ahlinya, yang diadakan di Jalan Nakhoda Ragam di sini.

Lebih 10 orang ahli jawatankuasa tinggi persatuan tersebut telah menyertai kursus selama tiga hari berkenaan yang berakhir hari ini.

Pengarah Daerah PBSM cawangan Daerah Brunei-Muara, Awang Mohd Hilhamd bin Haji Johari memberitahu, kursus tersebut difokuskan kepada mengajar para peserta tentang perkara-perkara penting mereka ketahui sebelum memberikan latihan atau mengajar orang awam.

Menurutnya, kursus itu juga menekankan tentang Bantuan Kecemasan, serta memberikan keyakinan kepada peserta bagaimana mengajar secara praktikal semasa menyelamatkan mangsa yang patah dan sebagainya dengan cara betul dan cekap.

Kursus  Latihan Basic Life Support yang diberikan kepada ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait.
Kursus Latihan Basic Life Support yang diberikan kepada ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait.

“Semasa mengajar atau memberikan latihan kepada orang awam, ahli-ahli PBSM berkenaan perlu faham dan tahu apa yang diajarkan dan bukannya mengajar secara dirangkum sekali gus, ianya hendaklah secara berperingkat, paling penting mudah difahami serta menunjukkan cara yang betul tentang memberikan bantuan CPR, dan juga penggunaan peralatan tertentu dalam bantuan kecemasan,” katanya.

Kursus seperti itu diadakan tiga kali setahun, iaitu secara ulang kaji pada awal tahun, dan akan diteruskan pada pertengahan tahun dan akhir tahun jika diperlukan, serta tergantung permintaan, yang mana ia turut diadakan di daerah Temburong, Tutong dan Brunei-Muara.

ARTIKEL YANG SAMA