PBSM anjur mesyuarat agung pada 6 Mac

PBSM anjur mesyuarat agung pada 6 Mac

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam Kebangsaan akan menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 dan Pemilihan Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Dwi Tahunan bagi Tahun 2016 hingga 2018, di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Mesyuarat yang akan diadakan pada 6 Mac jam 8:30 pagi itu, dijangka akan dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Teknikal), di Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin, selaku wakil peribadi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam kenyataan yang diterima, di sini, tujuan mesyuarat itu adalah bersesuaian dengan hala tuju Kertas Putih 2018-2020 persatuan itu untuk melibatkan pemimpin belia menjadi barisan kepimpinan pada peringkat kebangsaan yang akan dengan sendirinya merubah pola jentera pentadbiran Lembaga Eksekutif Kebangsaan yang bertanggungjawab dalam mencorakkan kegiatan dan aktiviti sepanjang tahun 2016 sehingga 2018 nanti.

Pada tahun ini, ahli-ahli berdaftar dari semua peringkat cawangan daerah masing-masing juga berpeluang untuk memilih calon pemimpin dan pemilihan pucuk pemimpin menerusi Mesyuarat Agung peringkat cawangan Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong yang diadakan di setiap daerah semenjak bulan Disember yang lalu.

Bersempena dengan majlis itu juga, PBSM cawangan Daerah Brunei dan Muara akan menganjurkan gerai jualan amal di kawasan letak kereta VVIP Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan tujuan untuk menjana dana bagi mengisi tabung kemanusiaan persatuan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, semua pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan ahli-ahli serta pegawai dan ahli kadet sekolah, sukarelawan dan juga orang ramai yang berminat dalam pergerakan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam adalah dialu-alukan hadir pada majlis itu nanti.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai yang berminat bolehlah menghubungi Ketua Pegawai Perhubungan Kebangsaan, Awang Faizal Gurie di talian 8985788.

ARTIKEL YANG SAMA