PBSM anjur Seminar IHL

PBSM anjur Seminar IHL

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Dalam usaha memupuk dan meningkatkan pengetahuan para belia dan orang ramai mengenai pentingnya sifat kemanusiaan dalam diri, Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam (PBSM) telah mengadakan Seminar Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) yang telah berlangsung di Teater Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkaiah, hari ini.

Seminar itu telah diisikan dengan ceramah-ceramah mengenai Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan kerja-kerja yang diadakan di Malaysia dan juga serantau, Konvensyen Geneva 1949 dan protokol tambahan pada 1977, perkembangan terbaru dan cabaran-cabaran IHL.

Ceramah-ceramah pada seminar pagi tadi itu telah pun disampaikan oleh Timbalan Ketua Daerah Delegasi, Claire Servoin; Penasihat Undang-Undang, Fiona Barnaby dan Penasihat Undang-Undang dan Serantau serta Trek Tahanan, Kelisiana Thrynne.

Ketua Sukarelawan dan Kadet Sekolah Kebangsaan PBSM, Awang Mohd Rosdi bin Haji Ruslan, semasa ditemui pihak media menjelaskan bahawa seminar ini bertujuan untuk mendedahkan kepada kadet-kadet sekolah bahawa IHL ini akan dapat memperluaskan lagi pandangan mereka.

Antara yang hadir pada seminar tersebut.
Antara yang hadir pada seminar tersebut.

Di samping itu, untuk memberikan pengetahuan kepada para belia daripada persatuan berkenaan dan juga orang ramai agar mempunyai sifat kemanusiaan sempena memperingati Hari Kemanusiaan Sedunia yang disambut pada setiap 19 Ogos.

Seminar juga akan dapat memberikan teknik kepada para peserta yang hadir dalam meningkatkan pemikiran daya saing mereka dan juga membentuk para belia untuk berjiwa rakyat dan kemanusiaan.

Sementara itu Claire Servoin dalam ceramahnya memperkenalkan kepada para sukarelawan, para pegawai dan kakitangan perkhidmatan kesihatan dalam tentera mengenai ICRC, aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan fungsi ICRC serta aktiviti yang diadakan di Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai dengan Konvensyen Geneva, beliau berkata ia mengehadkan kaedah-kaedah peperangan dan cara peperangan semasa konflik di samping melindungi beberapa kategori penduduk.

Claire juga menyatakan bahawa rombongannya datang dari Kuala Lumpur dan mula tiba di Brunei tiga hari yang lalu. Beliau berharap PBSM di negara ini akan menjadi persatuan yang lebih kuat dan maju pada masa hadapan.

Lebih 90 orang yang terdiri daripada para belia daripada kadet-kadet sekolah dan juga orang ramai yang berminat menghadiri seminar berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA