PBSM rai ulang tahun ke-67 penubuhan malam ini

PBSM rai ulang tahun ke-67 penubuhan malam ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Buat pertama kalinya, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam akan menganjurkan Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-67 penubuhannya di Restoran Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas, malam esok.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Hazair bin Haji Abdullah dijangka hadir selaku tetamu kehormat.

Turut dijangka hadir ialah perwakilan dari Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, Claire Servoin dan Ketua Delegasi Federasi Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Anne Leclerc.

Seramai 200 pegawai, ahli dan kadet belia sekolah serta sukarelawan Bulan Sabit Merah dari cawangan di keempat-empat daerah dijangka menghadiri majlis itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PBSM, objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk memperingati ulang tahun ke-67 penubuhan persatuan berkenaan dan diselajurkan bersempena dengan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang diraikan setiap 8 Mei di seluruh dunia.

Majlis itu juga akan menyaksikan penyampaian Anugerah Pemimpin Henry Dunant, iaitu anugerah berprestij yang diberikan kepada seorang pemimpin berkaliber dan menjadi mentor sukarelawan dan berhasil menjana perkembangan dan kemajuan persatuan dengan ketara.

ARTIKEL YANG SAMA