PBSM tubuh biro belia

PBSM tubuh biro belia

Oleh Anwar Rosly

Gambar ihsan PBSM

 

KUALA BELAIT, 12 Jan – Bersempena Hari Sukarelawan Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cawangan Daerah Belait telah menubuhkan biro bagi belia, dengan dua orang belia, seorang lelaki dan wanita, masing-masing mengetuai cawangan daerah bagi persatuan tersebut.

Dalam temu bual Media Permata bersama Penolong Pengarah Biro Belia PBSM cawangan Daerah Belait, Awang Mohd Mustaqim bin Haji Mustafa berkata, sempena program ‘Day Of Action’ yang dijalankan baru-baru ini, beberapa orang belia dari cawangan daerah persatuan itu telah dipilih oleh Jawatankuasa Tertinggi PBSM untuk dilatih menjadi pemimpin pelapis persatuan bagi daerah tersebut pada masa hadapan.

“Para belia yang telah dipilih ini akan dilatih dan diberi panduan oleh ahli-ahli lama yang telah dilantik menjadi penasihat bagi biro belia di sini untuk mengetuai dan memberi contoh yang baik kepada masyarakat tempatan,” kata beliau.

Dalam pemilihan tersebut Awang Khairil bin Mashud telah dilantik bagi mengetuai Biro Belia cawangan Daerah Belait PBSM sebagai Ketua Belia bagi Unit Sekolah sementara itu, Dayang Nurul Raihah Syazana Syukriah @ Diana binti Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Wanita bagi biro belia tersebut.

Gambar ramai bersama ahli-ahli PBSM.
Gambar ramai bersama ahli-ahli PBSM.
Awang Mohd Mustaqim ketika di temu bual.
Awang Mohd Mustaqim ketika di temu bual.

Menurutnya lagi, antara matlamat biro belia bagi PBSM Cawangan Daerah Belait ini diwujudkan adalah bagi membuka minda belia dalam meningkatkan minat mereka terhadap bidang pertolongan cemas, menanam sifat kesukarelawan serta memberi pengetahuan, pengalaman dan pendedahan yang berguna kepada belia.

Tambah beliau lagi, selain daripada menjadi kewajipan mereka untuk menyertai hari-hari kebesaran seperti bertugas pada Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan, Maulud Nabi dan sebagainya, PBSM cawangan Daerah Belait juga mengadakan aktiviti lain seperti kempen kebersihan, kerja-kerja amal dan kemasyarakatan yang lain.

Pada masa ini, terdapat tiga buah sekolah yang mempunyai kadet PBSM iaitu dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Maktab Anthony Abel.

Seramai 70 orang belia PBSM yang aktif masa ini didaftarkan di bawah cawangan Daerah Belait dan Awang Mohd Mustaqim memberitahu, objektif PBSM adalah untuk menarik seramai 100-200 orang belia menyertai PBSM di bawah biro belia.

ARTIKEL YANG SAMA