PC Methanol pemangkin ekonomi Labuan

PC Methanol pemangkin ekonomi Labuan

LABUAN, 28 Ogos – PETRONAS Chemicals Methanol Sdn Bhd (PC Methanol) yang beroperasi di Labuan, telah berjaya memperkukuhkan pembangunan ekonomi pulau ini khususnya dalam sektor perindustrian, petrokimia, minyak dan gas, seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup masyarakat tempatan.

Pengarah urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Chemical (PCG) Datuk Sazali Hamzah berkata PC Methanol dikemudi oleh hampir 60 peratus warga tempatan Labuan dan juga Sabah.

“Pada masa yang sama, kejayaan PML juga disokong oleh agensi-agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang berusaha memajukan industri petrokimia melalui perkhidmatan infrastruktur seperti bekalan elektrik, air dan khidmat sokongan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PC Methanol, anak syarikat cabang petrokimia PETRONAS, PETRONAS Chemicals Group Berhad berada pada landasan yang kukuh ke arah menjadikan Labuan hab metanol tersohor di rantau ini bagi memenuhi permintaan metanol dunia yang semakin meningkat.

“Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2.4 juta tan metrik setahun, PC Methanol merupakan pengeluar metanol terbesar di rantau Asia Tenggara dan yang keempat terbesar di dunia.

Datuk Sazali Hamzah yakin anak syarikatnya, Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd (PC Methanol), berada pada landasan yang kukuh. – Bernama
Datuk Sazali Hamzah yakin anak syarikatnya, Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd (PC Methanol), berada pada landasan yang kukuh. – Bernama

“PC Methanol juga menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara melalui peningkatan eksport, bertindak sebagai pemangkin kepada industri petrokimia negara, menggalakkan penyertaan syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan dan bahan-bahan binaan, pertambahan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi,” kata Sazali.

“Begitu juga dengan industri logistik udara, laut dan darat, di mana projek pembinaan Loji Metanol Kedua PC Methanol telah meningkatkan permintaan kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh sektor tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, Sazali berkata syarikat turut melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) merangkumi tiga fokus utama; sumbangan kepada komuniti setempat; pembangunan modal insan dan pemuliharaan alam sekitar.

Antaranya, PC Methanol bersama penduduk dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan seperti Perbadanan Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membaik pulih dan memulihara kawasan Kampung Rancha-Rancha Laut.

PETRONAS juga telah menganjurkan Program Pemuliharaan Pantai bagi memulihara kawasan pesisir pantai Taman Damai di samping memupuk semangat cintakan kebersihan pantai serta aktiviti kitar semula, katanya.

Beliau berkata di bawah Program Sentuhan Ilmu PETRONAS (PSIP), PC Methanol turut bekerjasama dengan sekolah angkat PETRONAS di Labuan termasuk Sekolah Rendah Kebangsaan Rancha-Rancha, Sekolah Rendah Kebangsaan Bebuloh dan Sekolah Rendah Kebangsaan Patau-Patau bagi membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang.

“Selain itu, bagi merangkumkan konsep pemerkasaan insan melalui pendidikan, PC Methanol dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Industri Latihan Perindustrian Labuan dan Jabatan Tenaga Kerja Labuan turut telah menganjurkan Program Skill Iltizam untuk memberikan pendedahan kepada anak muda tempatan.

“PC Methanol berpendirian tegas dalam melaksanakan usaha-usaha yang memastikan operasinya senantiasa berada di dalam lingkungan dan batasan yang tidak menjejaskan alam sekitar, serta tidak mengganggu kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya. – Bernama