PCG menang anugerah keusahawanan

PCG menang anugerah keusahawanan

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) – Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), sayap petrokimia Petronas, menerima Anugerah Keusahawanan Bertanggungjawab Asia dalam kategori Kepimpinan Lestari atas usaha pemuliharaan alam sekitar melalui program ecoCare.

Anugerah itu disampaikan pada satu majlis di Macau, 18 Jun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sazali Hamzah berkata anugerah itu merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen dan usaha PCG sekian lama dalam mendukung keusahawanan lestari dan bertanggungjawab.

“Petronas komited untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan negara, ia beroperasi dan berusaha untuk mengimbangi perniagaan dan mewujudkan nilai kemasyarakatan ke arah menjana pertumbuhan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata PCG memulakan program ecoCare yang menumpukan kepada penghutanan semula dan pemulihan habitat bakau secara ekologi di sepanjang Sungai Kertih, Terengganu.

Program yang diusahakan pada 2005 itu dibiayai sepenuhnya oleh PCG dan diuruskan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA