PCSB laksana kemas kini besar-besaran

PCSB laksana kemas kini besar-besaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Progresif Cellular Sdn Bhd (PCSB), hari ini, mengumumkan bahawa mereka akan melaksanakan siri seterusnya dalam pengemaskinian besar-besaran ke atas infrastruktur rangkaian terasnya.

Mengumumkan pelancaran berkenaan dalam kenyataannya hari ini, Progresif berkata pengemaskinian berkenaan akan membantu memulakan fasa baru strategi mereka dan membolehkan pelancaran produk-produk dan perkhidmatan baru.

Pengemaskinian berkenaan akan dilaksanakan pada tengah malam ini, untuk membantu meminimumkan impak ke atas pelanggan kerana ia akan mengakibatkan gangguan perkhidmatan prabayar kira-kira dari jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.

“Pengemaskinian ke atas platform prabayar kami minggu ini tidak akan segera mempunyai kesan ke atas pelanggan, sebaliknya ia memperkasa kami untuk menyerlahkan potensi-potensi fasa pembaikan rangkaian seterusnya,” jelas Ketua Pegawai Pemasaran Progresif, Devin Edwards.

Progresif, dalam kenyataannya memberitahu, tahun lalu, mereka telah membuat komitmen untuk melaburkan lebih $18 juta dolar bagi meningkatkan liputan, kualiti dan kelajuan data rangkaian dengan penggantian rangkaian teras dan pengemaskinian lebih daripada 200 stesen pangkalan.

Paul Hyde, ketika menyampaikan ucapannya semasa perasmian cawangan Progresif Cellular Sdn Bhd ke-3 di Seria.
Paul Hyde, ketika menyampaikan ucapannya semasa perasmian cawangan Progresif Cellular Sdn Bhd ke-3 di Seria.

Syarikat berkenaan juga telah menghasilkan lebih daripada 100 pekerjaan tempatan sementara menyediakan lebih daripada 5,000 jam latihan.

Progresif turut memberitahu bahawa mereka akan membuka kedai cawangan runcit keempat di Kuala Belait dalam bulan ini dan akan meraikan pelanggan ke-100,000.

“Ini merupakan tahun yang luar biasa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Hyde.

“Usaha-usaha pasukan hanya boleh jadi hasil daripada mempunyai perasaan sama untuk menjadi ejen-ejen perubahan positif, dan apa maknanya kepada para pelanggan dan bagi pembangunan industri di Brunei.

“Misi kami pada asasnya adalah untuk membangunkan perniagaan baru sementara mengekalkan kestabilan operasi-operasi infrastruktur legasi kami,” ujar beliau yang dipetik dalam kenyataan berkenaan, sambil menambah, ia seperti melaksanakan pembedahan jantung terbuka ke atas pesakit ketika mereka menyertai maraton.

Menurut kenyataan itu lagi, pengemaskinian baru-baru ini, September dan Oktober, telah membawakan perkhidmatan yang lebih baik ke Seria, Bengkurong Masin, Hotel Badi’ah dan Armada Ong Sum Ping.

Sementara pengemaskinian stesen-stesen pangkalan membantu memperbaiki perkhidmatan ke kawasan-kawasan yang lebih padat, Progresif pada masa ini dalam proses menyiapkan 30 stesen pangkalan tambahan bagi mengisi kawasan-kawasan tidak patut dan jurang-jurang dalam liputan.

Dalam pada itu, bagi membantu penyelarasan rangkaian yang dijalankan, Progresif melancarkan satu laman baru di laman sesawang mereka yang membolehkan pelanggan melihat peta rangkaian dan memberikan maklum balas serta bertanya mengenai perkhidmatan di kawasan-kawasan tertentu.

Edwards berkata, “Sebagai jenama tumpuan pelanggan yang menumpukan kepada kesederhanaan dan ketelusan, kami menyedari bahawa tiada cara lebih baik selain untuk menjadi lebih baik, dengan secara aktif mendengar komen pelanggan dan menggunakan maklum balas mereka sebagai peta jalan bagi usaha-usaha berterusan kami.

“Untuk mencapainya, para pelanggan kini boleh melayari laman sesawang kami dan nyatakan butiran terperinci untuk membantu kami mengenal pasti stesen pangkalan dan keadaan cuaca supaya kami boleh mengerahkan jurutera-jurutera kami bagi menangani isu-isu secara langsung,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA