PDB belasah Lun Bawang 4-0

PDB belasah Lun Bawang 4-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – MS PDB yang hanya satu mata di depan Lun Bawang menjarakkan dirinya kepada empat mata dari pasukan juara Liga Perdana DST 2014 apabila membelasahnya 4-0 malam tadi.

Lun Bawang yang baru mencatatkan kemenangan bersejarah 2-0 ke atas juara bertahan, Indera SC 30 Ogos lalu jelas menemui lawan yang berbeza pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas.

Walau sekadar mendahului 1-0 pada separuh masa pertama melalui jaringan Mohd Bohari bin Mohd Hassan pada minit ke-10, MS PDB naik ke satu tahap lebih tinggi pada separuh masa kedua dengan tiga lagi jaringan.

Mohd Syarafudin Hamdi bin Haji Talip menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-58 dan lima belas minit kemudian kedudukan bertambah selesa dengan jaringan Mohd Faiq bin Ramlee.

MS PDB (jingga) naik ke tempat ketujuh selepas menang besar 4-0 ke atas Lun Bawang.
MS PDB (jingga) naik ke tempat ketujuh selepas menang besar 4-0 ke atas Lun Bawang.

Lun Bawang mula mengucapkan selamat tinggal kepada tiga mata atau sekurang-kurangnya satu mata apabila Mohd Fazizzul bin Hussin meledakkan gol keempat PDB hanya sembilan minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat.

Kemenangan itu bukan sahaja menghalang Lun Bawang (tujuh mata) daripada memintas MS PDB di tangga kelapan tetapi turut membantunya naik ke tangga ketujuh dengan 11 mata, berganti kedudukan dengan IKLS FC yang belum memulakan pusingan keduanya.

Lun Bawang kekal di tangga kesembilan Liga Super DST 2015, ketinggalan dua mata di belakang IKLS FC di tangga kelapan.