PDB laksana strategi tepat harungi pasaran

PDB laksana strategi tepat harungi pasaran

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) – Petronas Dagangan Bhd (PDB) yakin terhadap keupayaannya untuk mengharungi persekitaran harga minyak yang rendah dengan pelaksanaan strategi yang betul.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, mereka telah melaksanakan, antara lain, inventori dan pengurusan kos paling optimum di samping strategi bekalan dan pengagihan terbaik.

“Kami berpendapat dengan strategi yang betul, syarikat akan berprestasi baik dan produk yang tepat di pasaran akan membuatkan pengguna gembira,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kad kesetiaan ‘Kad Mesra Angkasa’ di sini, hari ini.

Mohd Ibrahimnuddin berkata, PDB akan mengekalkan perbelanjaan modal sebanyak RM400 juta dan merancang untuk membuka antara tujuh hingga 10 stesen minyak tahun ini.

Kad Mesra Angkasa adalah kerjasama di antara PDB dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) yang menawarkan platform kepada koperasi di bawah pertubuhan payung itu untuk mempromosi perniagaan mereka di kalangan pemegang kad.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, mereka merancang untuk mengeluarkan sekurang-kurangnnya dua juta kad tahun ini.

“Kami bukan sahaja menyasarkan lapan juta ahli koperasi, tetapi juga anggota keluarga mereka yang bukan ahli,” katanya.