PDB rai Israk Mikraj

PDB rai Israk Mikraj

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Majlis-majlis keagamaan bagi memperingati Sambutan Israk dan Mikraj bagi Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi terus diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini, termasuklah Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang mengadakan ceramah agama, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong itu ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Haji Mohd Noor. Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam dan para pegawai serta anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Ceramah yang mengetengahkan tema ‘Kesempurnaan Sembahyang’ telah disampaikan oleh Pemangku Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Dalam ceramahnya itu, beliau antara lain menyentuh mengenai peristiwa perjalanan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa, yang kemudiannya dimikrajkan dari Masjidilaqsa ke Sidratulmuntaha.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin ketika hadir pada majlis itu.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin ketika hadir pada majlis itu.

Katanya, perjalanan Nabi Muhammad S.A.W ini banyak menggambarkan peristiwa-peristiwa besar dan penting yang hanya berlaku dalam tempoh masa yang pendek. Majlis seumpama ini diharap akan dapat meningkatkan lagi keyakinan umat Islam kepada Allah Subhanahu Wata’ala, meyakini kebenaran atas risalah kenabian Nabi Muhammad S.A.W dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan.

Selain itu, ia juga diadakan bagi memperingati hari-hari kebesaran Islam dan menjadikan sejarah peristiwa Nabi Muhammad S.A.W sebagai teladan dan iktibar anggota PDB setiap masa khususnya semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan.