PDP Pan Borneo dimeterai

PDP Pan Borneo dimeterai

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Rakan Projek Pelaksana (PDP) untuk mengurus dan melaksana pembinaan 706 kilometer (km) Lebuh raya Pan Borneo Sabah, di sini.

Turut menyaksikan perjanjian yang melibatkan tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kerja Raya pada majlis itu, projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah akan mengubah landskap infrastruktur dan menghubung bandar-bandar utama di Sabah dengan lebih efisien, selesa dan selamat bagi 3.74 juta penduduk di negeri itu.

Menurutnya, projek itu yang bermula dari Sindumin hingga ke Tawau, akan menjadi jalan penghubung strategik yang selamat serta memberi keselesaan perjalanan kepada pengguna jalan raya.

“Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah merupakan satu projek naik taraf laluan sedia ada serta pembinaan laluan baharu menghubungkan antara bandar. Lebuh raya ini merupakan laluan utama dan tidak dikenakan tol,” katanya.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah Urusan Borneo Highway PDP Sdn Bhd Ir Shahelmey Yahya.

Syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd telah dilantik sebagai PDP untuk pelaksanaan projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah.

Menurut kenyataan itu, pihak PDP akan bertindak sebagai ‘single point of accountability’ yang akan bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuh raya itu dengan kadar kos yang berpatutan.

Mengikut tempoh pembinaan yang dipersetujui oleh kerajaan, lebuh raya itu dijangka siap sepenuhnya sebelum 31 Disember 2021.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan projek lebuh raya ini, PDP akan bertanggungjawab melaksanakan projek ini berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah dipersetujui,” katanya.

Pakej pertama projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah itu melibatkan jajaran Papar-Donggongan sepanjang 11.7km yang merupakan sebahagian daripada 706km jajaran Pan Borneo Sabah fasa satu.

Kebanyakan laluan di fasa satu akan dinaik taraf kepada empat lorong dua hala dengan piawaian Jabatan Kerja Raya R5 (lebar minimum lorong: 3.5m; had laju 100km sejam), yang dijangka dilancarkan pada penghujung bulan ini.

Bagi menyelaraskan pelaksanaan projek, sebuah Jawatankuasa Eksekutif bakal dibentuk dan dipengerusikan oleh Sukarti dan dianggotai oleh wakil daripada agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.