PDRM siap siaga menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-27

PDRM siap siaga menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-27

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di tahap siap siaga optimum dengan penambahan kekuatan anggota bagi menghadapi kemungkinan berlaku keganasan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai tuan rumah persidangan itu, keselamatan setiap pemimpin negara-negara ASEAN dan rakan dialog menjadi keutamaan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata PDRM khususnya Bahagian Counter Terrorism kini lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap apa jua aktiviti yang disyaki membabitkan keganasan.

“PDRM telah menggerakkan apa yang patut… beri sokongan kepada agensi keselamatan kita.

“(Saya) minta tolong rakyat bekerjasama sampaikan maklumat (aktiviti keganasan) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung tergempar Parti Progresif Penduduk (PPP) 2015 dan penjenamaan semula PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Ahad.

Malaysia, yang merupakan Pengerusi ASEAN, akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan sidang kemuncak berkaitan mulai 18 hingga 22 Nov di ibu negara.

Ahmad Zahid berkata mana-mana pihak yang didapati terbabit dengan aktiviti keganasan tertakluk di bawah undang-undang termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden keganasan di Paris dan kerajaan tidak berhasrat memanggil mereka pulang.

ARTIKEL YANG SAMA