PDRM terus kesan ‘musuh dalam selimut’

PDRM terus kesan ‘musuh dalam selimut’

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengesan ‘musuh dalam selimut’ yang bersekongkol dengan penjenayah rentas sempadan untuk melakukan jenayah di Sabah termasuk penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka dalam usaha memastikan keamanan terjamin di Sabah khususnya di kawasan pantai timur negeri ini.

“Jika ada musuh dalam selimut, sampai bila pun pantai timur tidak akan aman. Tanggungjawab kami (ialah) kenal pasti musuh-musuh dalam selimut ini dan kita akan ambil tindakan. Kita tidak akan biarkan mereka terus menjadi musuh dalam selimut, duri dalam daging.

“Kalau mereka ingin tinggal di Sabah, ingin hidup dalam keadaan aman damai, mereka perlu setia kepada negara ini. Mereka perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam kita memastikan seluruh nenara kita aman damai dan semua orang boleh hidup sejahtera,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 155 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Cawangan Khas yang bertugas semasa insiden pencerobohan pengganas di Tanduo, Lahad Datu, di pantai timur Sabah, di sini.