PDRM tidak siasat Zeti – Khalid

PDRM tidak siasat Zeti – Khalid

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan beberapa laporan media sosial yang kononnya pihak polis sedang menyiasat Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Siapa cakap polis siasat, setahu saya tiada siasatan dijalankan terhadap dia (Zeti),” katanya kepada pemberita selepas menganugerahkan Pingat Kedaulatan Negara kepada 262 pegawai Jabatan Siasatan Jenayah seluruh negara di Dewan Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mengenai kebakaran di Tingkat 10 Menara Dua, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam, beliau berkata ia hanya memusnahkan kertas, buku dan surat khabar lama yang dihimpun di luar koridor tingkat berkenaan.

Menurut Khalid, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyiasat kebakaran itu.

“Pelbagai spekulasi yang timbul semalam di media sosial. Ada pula yang cuba mengaitkan dengan kes yang lain. Ini tidak ada kena mengena pun, benda sudah terbakar, jadi polis cuba ambil tindakan dengan memadam api itu.”

ARTIKEL YANG SAMA