Pecah amanah: tertuduh mengaku bersalah

Pecah amanah: tertuduh mengaku bersalah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Seorang wanita tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah bernilai $4,200 milik majikannya.

Noor Effa Nirza Azmilzah binti Jamil, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah untuk tuduhan menggunakan dokumen palsu dan melakukan penipuan untuk mendapatkan pembayaran wang dengan menjanjikan seorang pembantu rumah.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain menetapkan Disember untuk perbicaraan pengakuan tidak bersalah tertuduh.

Tertuduh yang bekerja di sebuah agensi pekerjaan didakwa melakukan pecah amanah itu antara April dan Ogos 2013.

Timbalan Pendakwa Raya Emily Goh memaklumkan mahkamah bahawa $4,200 itu adalah wang majikannya yang sepatutnya digunakan tertuduh untuk membuat pembayaran ‘wang pendahuluan’ bagi proses permohonan di Jabatan Tenaga Kerja.

Sebaliknya, dia menggunakan wang itu untuk membayar balik wang pelanggannya selepas gagal mendapatkan pembantu rumah untuk mereka.

Hakim menangguhkan hukuman tertuduh sehingga perbicaraan selesai dijalankan pada Disember.

Hakim melanjutkan tempoh ikat jamin tertuduh.

ARTIKEL YANG SAMA