Pecah amanah wang zakat

Pecah amanah wang zakat

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160630_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Seorang pegawai kerajaan dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, kerana melakukan pecah amanah membabitkan $11,707.40 pada 2010.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Junaidi bin Haji Duraman, 49, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dia yang bertugas di Pejabat Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat Daerah Belait ketika itu didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang hasil kutipan zakat fitrah dengan menyalahgunakannya untuk kegunaan sendiri. Dia menggunakan wang kutipan zakat itu untuk membaiki keretanya, perbelanjaan harian dan membayar hutangnya kepada ‘ah long’. Junaidi didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 November 2010 apabila seorang amil yang dilantik di Masjid Kampung Pandan telah menyerahkan senarai pembayaran zakat dan wang tersebut kepadanya.

Siasatan mendapati tertuduh tidak pernah memasukkan wang zakat fitrah yang diterima daripada amil tersebut ke dalam akaun bank jabatan.

Tertuduh yang turut disoal-siasat mendakwa wang itu telah dicuri dari kenderaannya yang tidak berkunci ketika dia keluar ke kedai untuk menggunakan tandas.Tanpa membuat laporan polis, dia hanya meminta tempoh untuk mengembalikan wang itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA