Pecah amanah

Pecah amanah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Kerana menyalahgunakan wang yang diamanahkan ke atasnya, seorang Penolong Tingkat 2 di Lembaga Bandaran akan mengetahui nasibnya pada 26 januari selepas mengaku bersalah atas kesalahannya di Mahkamah Perantaraan, semalam.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin menetapkan tarikh sebutan hukuman itu bagi Nor Ahmad bin Karna, 47, yang berdepan dakwaan melakukan pecah amanah dan membuat laporan palsu kepada pihak polis.

Tertuduh melakukan pecah amanah bagi $1,037.40 yang dikutip daripada pembayaran kupon letak kereta pada 6 Oktober 2011.

Hakim dalam prosiding semalam telah mempersoalkan kenapa kes tertuduh mengambil masa lima tahun untuk dihadapkan ke mahkamah, di mana Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo memohon maaf kerana kes itu terlepas pandang dan hanya menerima arahan hujung tahun lalu.

Tertuduh boleh berdepan dengan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan juga denda untuk kesalahan pecah amanah, serta penjara yang boleh dilanjutkan sehingga enam bulan atau denda sehingga $4,000 untuk tuduhan membuat laporan palsu.

Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin $2,000 atau seorang penjamin tempatan sehingga tarikh hukuman.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh menerima wang $1,037.40 daripada penolong bandaran dan membawanya pulang ke rumahnya di Kampung Mulaut. Dia kemudian pergi ke Bank Baiduri di Supasave, Beribi dan menghubungi talian hotline polis 993 dan memberitahu polis bahawa dia telah dirompak oleh dua orang lelaki yang bersenjatakan pisau ketika berada di tempat letak kereta.

Ketika polis tiba, mereka melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan, dan selepas menyoalnya, dia mengaku menghadapi masalah kewangan dan telah menyimpan wang kutipan itu di rumahnya dan turut mengaku laporan rompakan yang dibuatnya itu tidak benar.

Polis kemudian menemui semula kesemua wang kutipan itu.

ARTIKEL YANG SAMA