Pecah kereta, 3 penganggur dipenjara

Pecah kereta, 3 penganggur dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Tiga penganggur dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, semalam, atas 22 pertuduhan curi dengan memecah masuk kereta dan melakukan kerosakan pada kereta itu.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman penjara 65 bulan dan dua minggu ke atas Mohammad Jufakhri Irwan bin Mohamad, 35, yang berdepan 19 tuduhan pecah masuk kereta dan melakukan kerosakan pada kereta tersebut. Awangku Hardisah bin Pengiran Haji Kamaludin, 34, dikenakan enam bulan dan dua minggu penjara atas tiga pertuduhan pecah masuk kereta dan memberikan maklumat palsu kepada pihak polis dengan mengatakan sebuah kereta miliknya telah hilang.

Manakala itu, Muhd Razalee bin Roslan, 29, pula dijatuhi hukuman penjara 35 bulan dan tiga minggu untuk enam pertuduhan pecah masuk kereta.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari Jun hingga September 2015 di kawasan letak kereta di Daerah Brunei dan Muara, dan juga di Tutong.

Hukuman ke atas kesemua tertuduh bermula pada 11 November 2015.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA