Pecah rumah, kena penjara 8 tahun

Pecah rumah, kena penjara 8 tahun

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160819_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan pecah masuk rumah dan curi dijatuhi hukuman lapan tahun penjara dan enam sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

Haji Maswadi bin Pungut/Ismail, 34, terdahulu dilaporkan tidak hadir ke mahkamah pada 30 Mac lalu untuk sebutan hukuman di mana waran tangkap ke atasnya telah dikeluarkan.

“Polis mengambil masa yang agak lama untuk mengesan keberadaan kamu,” kata Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain yang tidak akan menjatuhkan hukuman lebih berat atas tindakan tertuduh melarikan diri daripada penjaminnya.

Haji Maswadi berdepan dakwaan pecah masuk rumah dan mencuri barang kemas, komputer, pemain DVD, perakam kamera termasuk barangan peribadi di Kampung Lambak Kanan; Kampung Pengkalan Gadong; Kampung Subok; Jalan Pengkalan Gadong; Kampung Mata-Mata, Batu Satu dan Kampung Sungai Hanching.

Dia didakwa di bawah seksyen 454 dan 457 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 kerana melakukan kesalahan itu pada Oktober, November dan Disember 2015, dan Januari 2016.

Hakim memerintahkan hukuman tertuduh berkuat kuasa pada hari dia diberkas iaitu 8 Ogos 2016.

ARTIKEL YANG SAMA