Pedagang batu permata di Iraq semakin bertambah

NAJAF, Iraq – Setiap kali Mohammed al-Ghoraifi pergi ke Najaf, dia pasti akan membeli sebentuk cincin batu berharga di jarinya. Seperti kebanyakan pelawat lain, membeli cincin batu permata itu adalah seperti satu kemestian apabila berkunjung ke sana.

Ghoraifi, yang mempunyai dua cincin berbentuk besar di jari tangan kanan dan kirinya dalam lawatannya baru-baru ini, berkata bahawa ia adalah sebahagian daripada koleksinya. Koleksinya itu menelan sejumlah kos yang agak besar buatnya, dan “ia mempunyai nilai yang tinggi”, kata salah seorang pelawat dari Bahrain berusia 60 tahun.

Minat Ghoraifi terhadap cincin batu permata dari Najaf ini, dihiasi dengan batu akik, batu delima merah atau firus, adalah antara batu-batu yang menjadi pilihan pelawat atau pengunjung dari Iran.

Ada sebahagian pelanggan berasal dari ‘Arab Saudi, Iran, Bahrain, Kuwait, Oman, Pakistan, Lubnan …” kata peniaga Fayez Abu Ghoneim, 45.

“Ramai di antara mereka membeli cincin atau tasbih sebagai cenderahati mereka untuk dibawa pulang ke negara masing-masing,” tambah Abu Ghoneim.

Pengunjung wanita melihat cincin-cincin yang terdapat di pasar utama Najaf. – AFP
Seorang penjual barang kemas mencuba sebentuk cincin di salah sebuah pasar utama di Najaf. – AFP

Walaupun perniagaan ini memberi keuntungan yang sangat besar, namun buat Issa Mussa, seorang peniaga berusia 70-an, berkata bahawa perniagaan ini telah merosot kerana ia telah dibanjiri dengan import murah daripada Turki, China, Thailand dan Iran.

“Kini saya telah menjadi jurujual cincin dan saya pernah menjadi sebagai seorang tukang emas,” kata Mussa.

Bagi Ali Anwar pula, dia merasa bangga untuk meneruskan tradisi artisan daripada Najaf ini, yang sememangnya sangat berharga.

“Barang kemas dari Turki atau Thailand dijual dengan menggunakan gram, sedangkan cincin daripada Najaf ini dijual secara berasingan, dengan harga antara 40,000 hingga 50,000 dinar,” atau sekitar AS$35 hingga AS$40 (29 hingga 33 euro), tidak termasuk harga batu tersebut, katanya.

Sesetengah pelanggan membawa cincin dari negara mereka agar batu-batunya dapat dipotong dan dibentuk di bengkel-bengkel di Najaf. Cincin yang diimport dijual sedikit mahal iaitu tambahan AS$10 setiap satu semasa musim perayaan. Pelanggan-pelanggan memenuhi lorong-lorong di pasar berkenaan. Pasar itu dihiasi dengan senibina Islam.

Seorang pengunjung mencuba cincin yang ada di salah sebuah barang kemas di pasar utama Najaf. – AFP
Seorang penjual barangan kemas membuat cincin di dalam bengkelnya. – AFP

Manakala kebanyakan penduduk-penduduk di sana pasti akan memakai sebentuk atau beberapa bentuk cincin di jari mereka. Seperti Sheikh Jassem al-Mandalawi, 42, menjelaskan kepada AFP bahawa ada sebahagian batu-batu itu membawa “pengampunan, seperti batu oniks dari Yemen, manakala batu zamrud adalah tanda kejayaan.” Sebentuk cincin dengan mempunyai batu akik berwarna merah atau nilam boleh mencapai sehingga 100,000 dinar atau lebih, katanya.

Item ‘kemestian’ pula adalah kuarza Najaf, iaitu batu yang kelihatan seperti kaca namun keras seperti batu, yang mana ia didapati di kawasan padang pasir yang berada di sekitar bandar itu, jelas Mohammed al-Shamarati, 30, seorang pedagang batu permata. Fadel Abu Abdullah, 50, berkata batu-batu yang dijualnya mempunyai tenaga kuasa terapeutik.

“Sebagai contoh, batu nilam berwarna kuning, adalah baik untuk denyutan jantung dan ia juga dapat merawat penyakit kuning yang dihidap oleh anak damit baru lahir,” katanya, sementara batu-batu lain dapat menghalau ‘perkara-perkara buruk atau roh-roh jahat.”

Shamarati berkata ada seorang wanita muda – yang masih bujang – membeli batu itu untuk mencari suami. Bagi Abu Abbas, seorang penduduk dari kawasan terpencil di luar Najaf, berusia 40 tahun, berkata cincin ini dapat melindungi si pemakainya.

“Saya sering melalui kawasan padang pasir dan boleh diserang dengan senjata api pada bila-bila masa,” katanya, sambil menjelajah kedai-kedai di sana untuk mendapatkan batu permata yang sesuai buatnya. – AFP