Pedagogi inovatif bentuk negara inovasi

Pedagogi inovatif bentuk negara inovasi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Teknologi telah membuka dunia dengan menghubungkan penduduk, dan Brunei Darussalam secara proaktif telah menyediakan infrastruktur optik gentian berteknologi tinggi bagi Internet berkelajuan tinggi.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berkata, ini membolehkan universiti-universiti menjadi hab pengetahuan masa depan yang menghubungkan kita dengan cendekiawan dan penyelidikan-penyelidikan terkini dalam membangunkan negara.

Semasa berucap di Majlis Perasmian Persidangan Pendidikan Antarabangsa ke-18 (ICE2015), hari ini, Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa bagi ekonomi moden, industri-industri teknologi tinggi akan membawa kepada peluang-peluang pekerjaan baru yang memerlukan lebih banyak pengetahuan dan kemahiran yang telah mendominasi ekonomi berasaskan pengetahuan.

Sama ada bagi kejuruteraan komputer, mereka perisian atau perkhidmatan kewangan halal, pendidikan universiti di negara ini perlu bertindak sebagai pemangkin bagi pembangunan negara, tekan beliau di majlis yang berlangsung di Bangunan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, UBD.

Menurut beliau, sebagai Negara Zikir, Brunei Darussalam mempunyai peluang unik untuk menunjukkan kepada dunia, melalui pendidikan, bahawa Islam menawarkan jalan untuk memupuk nilai-nilai dan prinsip.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika meninjau pameran di ICE2015.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika meninjau pameran di ICE2015.

Persidangan Pendidikan Antarabangsa (ICE) tahun ini, katanya, merupakan peluang baik untuk memikirkan bagaimana proses memupuk nilai-nilai ini boleh menjadi perkara penting kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, di mana penyelidikan dan kajian dapat membentuk negara inovasi berdasarkan nilai-nilai dan prinsip berkenaan.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, persidangan ini adalah bertepatan dalam menangani bagaimana pendidikan dapat menyokong pembangunan negara dengan menyediakan pedagogi inovatif.

“Pendekatan abad ke-21 ini mestilah menghubungkan orang muda dengan memberi mereka imaginasi dan motivasi untuk menjadi pekerja pengetahuan, yang membolehkan mereka untuk berpegang kepada kebenaran tetapi mempelajari kemahiran penting,” ujarnya.

Tambah beliau, pedagogi inovatif memerlukan kemahiran pengajaran abad ke-21 yang berakar umbi dalam pemikiran inovatif, pemahaman mendalam dan komunikasi hebat.

ARTIKEL YANG SAMA