Pedro cuba nasib di Chelsea

Pedro cuba nasib di Chelsea

LONDON, 25 Ogos (Reuters) – Bintang baru Chelsea, Pedro berkata dia ‘memperjudikan’ nasibnya dengan meninggalkan juara Sepanyol, Barcelona selepas lapan tahun penuh gemilang bersama gergasi Catalan itu.

Bagaimanapun katanya, perpindahan itu turut didorong keinginan untuk memperoleh lebih banyak masa bermain.

Penyerang Sepanyol itu melengkapkan perpindahan bernilai 30 juta euro (RM146.79 juta) ke juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu minggu lalu dan meledak gol pada penampilan sulungnya.

Pedro diturunkan Jose Mourinho buat pertama kali ketika Chelsea menewaskan West Bromwich Albion 3-2, Ahad lalu. “Sudah tentu saya mahu kekal di Barca dan bersara di sana,” kata pemain berusia 28 tahun itu dipetik laporan Sky Sport.

“Ini adalah keinginan saya apabila saya menandatangani kontrak lanjutan saya. Namun saya bertaruh kerana ia adalah apa yang saya mahukan.

Pedro Rodriguez ketika dalam satu sidang media baru-baru ini. – AFP
Pedro Rodriguez ketika dalam satu sidang media baru-baru ini. – AFP

“Saya tidak berada di sini hanya untuk berada di dalam gambar.”

Pedro yang meledak 59 gol daripada 128 penampilan bersama kelab Catalan itu mendapati peluangnya untuk beraksi semakin menipis dengan kehadiran bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez sekalipun baharu saja menandatangani kontrak lanjutan pada Jun.

“Saya amat gembira ketika saya menandatangani kontrak itu. Namun kemudian saya melihat situasi saya tidak berubah.

“Saya sentiasa memiliki harapan yang tinggi namun adalah sukar untuk meneruskannya di sini. Kini saya memiliki cabaran yang baharu dan peluang untuk saya terus bermain.

“Tawaran ini datang dan ia memberikan saya segala yang saya mahukan untuk mengambil keputusan. Saya berpindah kerana mahu mendapat masa lebih untuk bermain,” katanya.

Sepanjang di Barcelona, Pedro sudah menjulang 20 trofi kejuaraan termasuk lima La Liga dan tiga Liga Juara-Juara Eropah.

“Saya gembira berada di Chelsea kerana ia adalah kelab yang seperti Barca, sentiasa bertarung untuk kejuaraan. Saya tidak fikir Barca akan merindui saya kerana mereka memiliki ramai pemain berkualiti, namun saya sudah tentu akan merindui mereka, pemain dan juga kelab,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA