Pedro dedah mengapa pilih Blues

Pedro dedah mengapa pilih Blues

LONDON, 23 Ogos (AFP) – Bintang baru Chelsea, Pedro Rodriguez mendedahkan perbualannya bersama Jose Mourinho dan Cesc Fabregas berjaya memujuknya untuk berhijrah dari Barcelona bagi menyertai juara Liga Perdana Inggeris itu.

Pedro memilih The Blues berbanding pencabar kejuaraan Inggeris, Manchester United sekalipun khabar angin kuat mengatakan Old Trafford adalah destinasinya selepas Barca.

Begitupun, campur tangan Chelsea di saat akhir menyaksikan United gigit jari. Pemain berusia 28 tahun itu berkata, sebab dia menolak United adalah kerana Mourinho dan Fabregas menghubunginya secara peribadi serta memberitahunya betapa dia akan gembira dengan kehidupan di Stamford Bridge.

“Dia (Mourinho) adalah salah satu daripada sebab utama mengapa saya berada di sini. Dia menghubungi saya beberapa kali dan berkata dia mahukan saya untuk menjadikan pasukannya lebih kuat,” kata Pedro dalam laman web Chelsea.

“Dia memenangi gelaran di mana saja dia pergi. Saya tidak sabar untuk bermain di bawah bimbingannya dan berharap untuk memenangi beberapa lagi kejuaraan.

Pedro yang kini bermain dengan kelab Chelsea. – Reuters
Pedro yang kini bermain dengan kelab Chelsea. – Reuters

“Saya bercakap dengan Cesc. Kami adalah rakan baik. Saya tahu saya akan merasa seperti di rumah sendiri di sini dan ia juga salah satu alasan utama mengapa saya bersetuju untuk menyertai mereka.

“Saya juga pernah bermain dengan Diego Costa dan Cesar Azpilicueta sebelum ini, untuk skuad kebangsaan jadi saya amat selesa berada di sini,” katanya.

Bintang terbaru Chelsea, Pedro memiliki rekod yang mengagumkan dengan lima kejuaraan La Liga dan tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

Begitupun, dia meninggalkan Barca selepas pengendali, Luis Enrique lebih mengutamakan tiga serangkai, Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez.

Selepas begitu lama kecewa bersama Barcelona, Pedro berkata dia tidak sabar untuk beraksi bersama kelab baharunya.

“Saya bersedia untuk terus bermain jika pengurus memilih saya. Kadang kala saya bermain di bahagian kanan, kiri namun di mana saja saya diturunkan, saya akan memberikan yang terbaik,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA