Pedro harap lebih kerap diturunkan

Pedro harap lebih kerap diturunkan

BORDEAUX, 21 Jun (AFP) – Pemain tengah Sepanyol, Pedro Rodriguez memberi bayangan yang dirinya akan mengundur diri daripada saingan antarabangsa selepas kecewa kerana kurang diberi peluang beraksi bersama juara Eropah itu dalam dua perlawanan awal Euro 2016.

Selepas musim pertama yang mengecewakan bersama Chelsea susulan perpindahan bernilai 30 juta euro daripada Barcelona, Pedro hanya beraksi selama lapan minit sebagai pemain gantian ketika Sepanyol mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik hasil kemenangan ke atas Republik Czech dan Turki.

“Saya fikir saya boleh beraksi lebih banyak dalam saingan Euro kali ini kerana saya tiba dengan prestasi terbaik. Namun, ia tidak seperti yang saya jangkakan.

“Ia juga sukar untuk saya terus berada di sini kerana sukar untuk saya meramalkan peranan saya. Jika kamu tidak bermain, ia tidak berbaloi kamu datang ke sini apabila hanya untuk melengkapkan kuota pasukan,” kata Pedro.

Pedro ketika membuat latihan bersama pasukannya. – AFP
Pedro ketika membuat latihan bersama pasukannya. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Pedro meninggalkan Barcelona apabila mengalami situasi yang sama dihadapinya ketika ini pada awal musim dan berkata “mudah untuk dia kekal, menang dan bergambar bersama trofi” selepas tenggelam di belakang trio serangan The Catalan, Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar di Nou Camp.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun yang menjadi sebahagian daripada skuad Sepanyol ketika menjuarai Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 itu menegaskan dia tidak mahu mengkritik percaturan jurulatih, Vicente del Bosque.