Pedrosa juara MotoGP Sepang

Pedrosa juara MotoGP Sepang

SEPANG, 25 Okt (Reuters/Bernama) – Penunggang Repsol Honda, Dani Pedrosa tidak berdepan banyak masalah untuk menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2015 ketika perlumbaan lebih dibayangi insiden membabitkan Valentino Rossi dan Marc Marquez.

Memulakan perlumbaan di petak utama, Pedrosa pantas memimpin perlumbaan sejak awal dan menamatkan perlumbaan dengan catatan 40 minit 37.691 saat.

Pelumba Yamaha, Jorge Lorenzo kedua ketinggalan 3.612 saat di belakang Pedrosa diikuti pendahulu kejuaraan dunia, Valentino Rossi, ketiga.

Begitu pun, perlumbaan di Sepang lebih dibayangi insiden yang membabitkan Rossi dan Marquez yang membawa kepada penyingkiran pelumba Honda itu selepas terjatuh di pusingan keenam.

Kedua-dua pelumba bersaing sengit di awal perlumbaan dan saling bertukar kedudukan ketiga dan keempat dan beberapa kali bergesel sebelum sentuhan terakhir menyaksikan Marquez terjatuh.

Dani Pedrosa (tengah) meraikan kejayaannya bersama pemenang kedua Jorge Lorenzo (kiri) dan pemenang ketiga Valentino Rossi (kanan) di atas podium selepas perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 25 Oktober 2015. – AFP
Dani Pedrosa (tengah) meraikan kejayaannya bersama pemenang kedua Jorge Lorenzo (kiri) dan pemenang ketiga Valentino Rossi (kanan) di atas podium selepas perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 25 Oktober 2015. – AFP

Dalam pada itu, kedudukan Rossi selaku pendahulu terus dipintas Lorenzo yang kini hanya dibezakan dengan tujuh mata berbaki satu pusingan di Valencia, Sepanyol.

Sebelum perlumbaan di Sepang, kedua-duanya dibezakan dengan 11 mata. Pedrosa juga tidak asing di Sepang dan menjuarai perlumbaan pada 2012 dan 2013.

Sementara itu penunggang pasukan Red Bull KTM Ajo, Miguel Oliveira dinobatkan sebagai juara Grand Prix Motosikal Malaysia 2015 juga di Litar Sepang.

Penunggang Portugal itu mencatat masa 40 minit, 32.277 saat.   Rakan sepasukannya, Brad Binder dari Afrika Selatan hanya ketinggalan 0.089s di belakangnya dan penunggang Sepanyol, Jorge Navaro daripada pasukan Galicia 0,0, menduduki tempat ketiga, ketinggalan 0.273s daripada pemenang.

Penunggang Malaysia Zulfahmi Khairuddin yang mewakili pasukan Drive M7 SIC gagal menamatkan perlumbaan itu selepas melengkapkan lima daripada 18 pusingan.

ARTIKEL YANG SAMA