Pedrosa raih petak pertama

Pedrosa raih petak pertama

ASSEN, Belanda, 26 Jun (AFP) – Dani Pedrosa mencatatkan rekod pusingan baru untuk menyingkirkan rakan sepasukan dari Honda dan juara bertahan dunia, Marc Marquez pada hari pembukaan latihan sekali gus membolehkan beliau meraih petak pertama untuk Grand Prix Belanda, esok.

Pedrosa mengetepikan suhu yang hampir mencecah 40 darjah Celsius untuk mencatatkan 1minit 33.450saat bagi menewaskan Marquez 1minit 33.462saat sebelumnya di litar yang ada dalam kejuaraan dunia sejak 1949.

Ketua kejuaraan dunia sekarang, Valentino Rossi yang menunggang Yamaha adalah ketiga terpantas dengan 0.202 saat dari Pedrosa.

Rossi berusaha untuk mencatatkan kemenangan di Assen hujung minggu ini bagi kali ketujuh dan berjaya mencatat kemenangan keenam yang dipegangnya bersama legenda Itali, Giacomo Agostini.

“Ia adalah hari Khamis yang bagus. Saya merasa gembira kami bekerja dengan baik ketika sesi ini dan kami mendapati satu penyelesaian yang menarik,” kata Rossi.

Dani Pedrosa meninggalkan pit semasa sesi latihan di MotoGP TT Assen di Belanda semalam. – Reuters
Dani Pedrosa meninggalkan pit semasa sesi latihan di MotoGP TT Assen di Belanda semalam. – Reuters

“Keutamaan pertama adalah untuk mencari rangka yang kami pilih, yang baru atau yang standard. Saya merasa bagus dengan yang baru.”

Marquez, yang berada di tangga kelima dalam kedudukan, 69 mata di belakang Rossi, memenangi perlumbaan dalam keadaan hujan di Belanda tahun lepas dan melalui sesi dramatik semalam.

Pada sebelah pagi, dia jatuh dari mesinnya selepas tiga minit beraksi, sementara pada sebelah petang, dia hampir bergeser dengan Rossi.

Jorge Lorenzo dari Sepanyol, hanya satu mata di belakang rakan sepasukan Yamaha, Rossi dalam perebutan gelaran selepas memenangi empat perlumbaan terakhir, di tempat keenam semalam.

Biarpun Pedrosa mengungguli carta masa, terdapat kurang daripada sesaat memisahkan 12 penunggang teratas menjelang sesi kelayakan hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA