Peduli keluarga tragedi nahas, lemas

Peduli keluarga tragedi nahas, lemas

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), sebagai tanda pemedulian dan kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap mereka yang memerlukan, telah menghulurkan sumbangan kepada anak-anak dua pasangan suami isteri yang meninggal dunia dalam tragedi nahas jalan raya dan lemas baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Allahyarham Haji Jamaludin bin Haji Mokti dan isteri telah meninggal dunia akibat lemas pada 16 November 2015 dan Allahyarham Awang Daud bin Haji Lait dan isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 17 November 2015 yang lalu sekali gus meninggalkan anak-anak mereka yatim piatu.

Penyampaian sumbangan kepada keluarga mangsa telah diadakan di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Kumbang Pasang, petang tadi, dan disempurnakan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Haji Brahim ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang ibu bapa mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya dan tragedi lemas, baru-baru ini.
Haji Brahim ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang ibu bapa mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya dan tragedi lemas, baru-baru ini.

pg04_151126_b

Allahyarham Haji Jamaludin dan isteri meninggalkan dua orang anak lelaki masing-masing berumur 19 dan 18 tahun, sementara itu, Allahyarham Awang Daud dan isteri pula meninggalkan lima orang anak perempuan dan empat orang anak lelaki berumur dalam lingkungan dua tahun hingga 20 tahun.

Yayasan dalam kenyataannya turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.

Bagi melahirkan rasa simpati Yayasan kepada keluarga mangsa, majlis penyampaian sumbangan itu turut diselajurkan dengan Majlis Membaca Surah Yasin dan Bertahlil.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan.

ARTIKEL YANG SAMA