Pegang teguh prinsip MIB

Pegang teguh prinsip MIB

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Para Peserta Negara Brunei Darussalam yang menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) ke-42 diseru supaya menunjukkan dan mengetengahkan kualiti, keupayaan dan kebolehan belia Brunei daripada segi intelek, pengetahuan, jati diri, akhlak dan keperibadian yang bercalakkan dan berpegang teguh kepada Prinsip Melayu Islam Beraja.

Di samping itu, sesuai dengan tema program bagi 2015, ‘Penglibatan Belia Dalam Aktiviti-aktiviti Sosial,’ mereka juga harus menyumbang secara aktif kepada isu atau tajuk yang dibincangkan serta mengongsi pengalaman dan pencapaian golongan belia Brunei yang bergiat aktif dalam kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan baik di dalam negeri mahupun di luar negara.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika berucap di Majlis Kunjung Hormat peserta-peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara 2015 serta Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Katanya, para peserta perlu mengangkat usaha Negara Brunei Darussalam pada menyatukan belia-belia profesional ASEAN dalam melaksanakan kerja-kerja sosial dan kebajikan di negara-negara ASEAN melalui Kor Sukarelawan Profesional Muda ASEAN (ASEAN Young Profesional Volunteer Corps – AYPVC) dan Program Outreach oleh mahasiswa-mahasiswi Universiti Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair  menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Ketua Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SSEAYP, 2015, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Ketua Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SSEAYP, 2015, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim.

Yang Berhormat Pehin turut menyeru para peserta untuk mengetengahkan kejayaan persatuan-persatuan belia seperti Society For Community Outreach and Training (SCOTT), Read or Take It (R.O.T.I) dan Katakijau dalam kerja-kerja sosial memulihara alam sekitar, membantu golongan susah serta mengangkat budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Pada waktu yang sama, mereka juga perlu menerampilkan keupayaan intelek dan pengetahuan belia-belia Brunei mengenai isu-isu semasa serantau dan global.

“Ini kerana belia merupakan cermin dan tunggak kepimpinan negara di masa hadapan,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan peserta untuk memenuhi peranan mereka sebagai duta kecil negara dengan memberikan gambaran yang positif mengenai masyarakat dan negara di samping menjaga imej dan nama baik negara setiap masa dengan mencerminkan keperibadian serta kesopanan orang Brunei dan mempromosikan gaya hidup orang Brunei yang berpegang kepada Konsep Melayu Islam Beraja.

Yang Berhormat Pehin berkata, masyarakat umum menaruh harapan ke atas bekas peserta program, Alumni Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun, untuk mencurahkan khidmat dan bergerak secara aktif menyumbang kepada pembangunan belia serta kerja-kerja kesukarelawanan dan kemasyarakatan di Brunei dengan berpandukan kepada pengalaman, amalan terbaik dan perkongsian maklumat yang diperoleh.

“Para peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara perlu membuktikan kepada masyarakat dan negara bahawa program yang mereka ikuti benar-benar menyumbang kepada perubahan minda dan memberikan anjakan paradigma ke atas diri mereka dalam memberikan kesedaran akan betapa pentingnya generasi belia memainkan peranan mereka di dalam pembangunan dan kemajuan komuniti masing-masing.”
Perkara itu, jelas Yang Berhormat Pehin adalah bertepatan dengan matlamat kegiatan lepasan program (PPA) yang dikenakan ke atas peserta-peserta setelah mengikuti program itu, di mana mereka hendak mengenal pasti bidang kerja sukarela yang akan mereka sumbangkan yang dapat membangun masyarakat dan juga menyumbang kepada pembangunan negara.

ARTIKEL YANG SAMA