Pegang teguh tiga matlamat

Pegang teguh tiga matlamat

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Dalam kegigihan melaksanakan rancangan-rancangan strategik Wawasan Brunei 2035, kita hendaklah berpandu kepada pernyataan bahawa pada mencapai tiga matlamat itu kita berazam untuk kekal teguh di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mendukung nilai-nilai Islam serta mengekalkan tradisi hidup berbaik-baik antara semua golongan rakyat dan penduduk.

Tiga pernyataan tersebut sedia termaktub dalam dokumen Wawasan Brunei 2035 dengan maksud yang jelas bahawa kita mahu memastikan setinggi mana pun tahap kemajuan Brunei Darussalam dan rakyatnya namun ia tetap aman, harmoni, bersatu padu, dan sejahtera dengan corak identitinya sebagai negara Melayu Islam Beraja.

Perkara ini ditegaskan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menyampaikan ceramah khas semasa majlis ramah mesra dengan pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di sini, hari ini, majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Kaherah itu diadakan dalam rangka lawatan Yang Berhormat Pehin ke Kaherah setelah menghadiri Persidangan ke-26 Majlis Tertinggi Islam anjuran Kementerian Waqaf Republik Arab Mesir di Aswan, wilayah selatan negara itu.

Hadirin ketika mendengarkan ceramah yang disampaikan.
Hadirin ketika mendengarkan ceramah yang disampaikan.
Yang Berhormat Pehin beramah mesra bersama para pelajar di Kaherah.
Yang Berhormat Pehin beramah mesra bersama para pelajar di Kaherah.

Dalam ceramah khas yang bertajuk ‘Ilahi Selamatkan Brunei Darussalam’, Yang Berhormat Pehin menghuraikan signifikan lafaz-lafaz doa dalam lirik lagu kebangsaan dan juga teks doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara dalam usaha Brunei mengekalkan kewujudannya sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman makmur dan selamat di bawah kepimpinan pemerintahan beraja yang adil lagi berkebajikan.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin seterusnya menghuraikan episod-episod penting sejarah Brunei semenjak tertubuhnya pemerintahan raja Islam pertama dalam kurun ketiga belas hingga pengambilan alih semula tanggungjawab antarabangsa sebagai negara yang berdaulat pada tahun 1984.

Menurut beliau, kejadian dalam episod-episod sejarah tersebut menginsafkan kita semua, terutama generasi baharu Brunei yang maju dan berjaya dalam modenisasi negara dan bangsanya.

Keinsafan itu, tekan beliau, ialah dengan mensyukuri Brunei dan segenap sistem sosial-politiknya sebagai rahmat dan nikmat Allah yang perlu dipertahankan dan dikembangkan dengan penuh tanggungjawab.

Turut hadir dalam majlis ramah mesra itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin dan isteri, Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusuf dan para pegawai Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir.

ARTIKEL YANG SAMA