Pegawai 1MDB tidak beri maklumat palsu

Pegawai 1MDB tidak beri maklumat palsu

PUTRAJAYA, 13 Okt – Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini mengekalkan pendiriannya bahawa pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membuat kenyataan palsu.

Beliau berkata 1MDB telah mengemukakan secara benar maklumat yang diperlukan bagi tujuan pengiriman dan ia mendapat kebenaran daripada Bank Negara sebanyak tiga kali untuk berbuat demikian pada 29 September 2009, 6 September 2010 dan 20 Mei 2011.

Setakat pengetahuan 1MDB, Mohamed Apandi berkata syarikat itu perlu mengisi borang berkaitan dan memberi maklum balas terhadap pertanyaan daripada Bank Negara.

“Jika Bank Negara tidak meminta maklumat tertentu, bagaimana 1MDB boleh disalahkan kerana ia telah mengisi borang seperti yang dikehendaki dan menjawab pertanyaan yang diajukan?

Pegawai di 1MDB pada masa material, iaitu semasa proses mendapatkan kebenaran telah mematuhi arahan yang diberikan, maka kebenaran diberikan,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

“Hanya dan kecuali boleh dibuktikan bahawa pegawai berkenaan telah mempertimbangkan atau mengetahui atau secara semberono memberikan maklumat yang palsu dalam bahan butiran, mereka tidak melakukan kesalahan di bawah perenggan (4)(b) Bahagian 1 Jadual Kelima Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953, kata Mohamed Apandi.

Beliau berkata Bank Negara melalui surat bertarikh 1 Okt tahun ini telah meminta satu semakan semula mengenai keputusan itu atas alasan ada maklumat yang tidak dimasukkan oleh 1MDB, contohnya tidak dikemukan maklumat tertentu.

Beliau berkata setakat yang diketahui tentang maklumat yang tidak dimasukkan, tiada keperluan untuk diberitahu melainkan diminta.

Terdahulu, Mohamed Apandi menjelaskan bahawa Bank Negara tidak mengambil masa lebih dari tiga hari untuk memberikan kebenaran berkenaan kepada kesemua tiga kiriman berkenaan. – Bernama