Pegawai awam sertai bengkel pengurusan

Pegawai awam sertai bengkel pengurusan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Kira-kira 40 orang daripada kumpulan Divisyen 1, B2 dan B3 yang mewakili beberapa jabatan dan institusi kerajaan, telah menyertai Bengkel Pengurusan anjuran Institut Perkhidmatan Awam (IPA) yang diadakan di Dewan Serba Guna IPA Rimba Gadong di sini, baru-baru ini.

Bengkel dua hari yang dikendalikan dan dimudah carakan oleh PPP Ilmu Alim, iaitu sebuah firma perundingan pengurusan dan pembangunan sumber manusia tempatan, itu antara lain membincangkan tajuk ‘Rancangan Berstrategik dan Senario Pembangunan serta Penyeliaan Senario’.

Dato Paduka Malai Haji Ali bin Malai Haji Othman selaku pemudah cara bengkel menjelaskan bahawa, program latihan itu ditambah nilai dengan Kaedah Perancangan Strategik dan Penyediaan Senario yang lebih aktif melalui Konsep Zikir yang akan menyerapkan kaedah doa, tafakur, insaf, taubat dan tawakal sebagai nilai tambah kepada proses dan alat pengurusan konvensional.

Menurutnya, melalui Konsep Zikir, nilai-nilai Melayu Islam Beraja dapat diketengahkan sebagai amalan dan kaedah terbaik dalam pembentukan strategi, penyediaan senario, pengurusan dan pemantauan dasar sesebuah institusi kerajaan.

“Contohnya peserta-peserta akan berpeluang menghayati pendekatan Islam dalam konteks melaksanakan lima tuntutan Maqasid (objektif) Syariah iaitu dalam menjaga agama, akal fikiran, keturunan dan harta benda serta piawaian Islam dalam proses membuat perancangan strategik dan penyediaan senario.

Para peserta membincangkan perkara-perkara yang telah ditetapkan tajuknya, secara berkumpulan.
Para peserta membincangkan perkara-perkara yang telah ditetapkan tajuknya, secara berkumpulan.

“Seterusnya peserta-peserta juga akan dapat menghayati konsep integriti dan akauntabiliti dari perspektif Islam dalam konteks menjaga hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala (habluminallah) dan dengan sesama manusia (hambluminannas).

“Ke arah memantapkan lagi penghayatan peserta-peserta terhadap Melayu Islam Beraja, program latihan ini juga mengetengahkan Syair Perlembagaan Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saiffudien Sa’adul Khairi Waddien sebagai bahan pembelajaran dalam proses perancangan strategik dan menyediakan senario,” ujarnya.

Melalui bengkel tersebut peserta antara lain turut mempelajari beberapa perkara seperti proses dalam pembentukan strategi, mengenal pasti isu, mengumpul dan menganalisis maklumat, akauntabiliti, pelan tindakan dan perlaksanaan, misi, visi, nilai-nilai dan penggunaan Balanced Score Card dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA