Pegawai berkaitan rasuah ditahan reman

Pegawai berkaitan rasuah ditahan reman

LABUAN, 28 Nov – Pegawai kanan sebuah agensi kerajaan persekutuan Labuan yang disiasat kerana penyalahgunaan kuasa dan rasuah dibebaskan daripada tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini namun ditangkap semula untuk dilanjutkan reman ke atasnya.

Pegawai yang berumur 59 tahun itu ditangkap semula selepas dibebaskan Majisret Haizah Tamin. Pegawai terbabit tidak hadir di mahkamah tetapi diwakili peguamnya.

Satu sumber SPRM berkata pegawai terbabit akan terus disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Pegawai itu ditangkap pada 21 November bersama-sama dengan dua kontraktor yang berumur lingkungan 40-an yang dibebaskan pada Jumaat lepas dengan jaminan SPRM.

Sumber SPRM berkata lanjutan perintah reman itu ke atas pegawai terbabit akan dibuat di Mahkamah Majistret esok.

Pegawai dan kontraktor itu direman tujuh hari bermula Selasa lepas untuk membantu siasatan berhubung medan selera bernilai RM12 juta yang dibina di Tanjung Purun.

Berikutan penangkapannya, SPRM membekukan 12 akaun bank milik pegawai dan anggota keluarganya mengandungi RM889,000 dipercayai sebahagian daripada jutaan ringgit yang didakwa diperoleh melalui perbuatan rasuah.

Mana-mana orang yang dituduh dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali gabda daripada jumlah transaksi, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

SPRM telah memanggil sembilan individu, enam daripadanya adalah pegawai kerajaan untuk membantu siasatan. – Bernama