Pegawai bomba dituduh rasuah diberi amaran

Pegawai bomba dituduh rasuah diberi amaran

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160701_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Seorang pegawai bomba yang menghadapi tuduhan rasuah diberi amaran keras oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas tiga kali gagal hadir di mahkamah untuk hujahan rayuan.

Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Bahar memberi amaran itu kepada Penolong Penguasa Bomba, Wadi bin Haji Tuah melalui Peguam Belanya, Yusof Halim yang terdahulu memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya sekali lagi tidak dapat hadir kerana diberi sijil cuti sakit dari klinik swasta.

“Dalam sebutan minggu lalu, tertuduh dimasukkan ke hospital dan mungkin memerlukan pembedahan segera, dan hari ini pula, tertuduh diberi sijil cuti sakit,” pertikai Majistret Kanan.

Majistret Kanan menetapkan 4 Julai untuk sebutan, dan turut memberi amaran bahawa mahkamah akan menarik balik ikat jamin dan mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh jika dia gagal hadir dan mengemukakan laporan daripada doktor yang mengatakan dia perlu menjalani pembedahan.

Wadi didapati menerima rasuah berupa 550 jubin homogen yang bernilai $605 dan dua tan simen berharga $350 daripada Pengarah Urusan Syarikat Pro-Team Construction & Trading Sdn Bhd, Yap Tiew Hon.

Yap Tiew Hon pula didakwa bersubahat dengan Wadi yang bertanggungjawab untuk memeriksa dan meluluskan projek pembangunan perumahan yang dikendalikan oleh syarikat tersebut.

Kedua-dua mereka disabit oleh Mahkamah Majistret pada 13 Jun 2016 atas kesalahan yang dilakukan pada November 2011.

Yap Tiew Hon diwaklili Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abd Rahman dan Balendran manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh.

ARTIKEL YANG SAMA