Pegawai bubuh ‘minyak pengasih’ dalam minuman pensyarah

Pegawai bubuh ‘minyak pengasih’ dalam minuman pensyarah

SINGAPURA, 20 Jan – Seorang pegawai sokongan teknikal menaruh bahan tidak diketahui ke dalam botol air minuman seorang wanita kerana menyangka ia ‘minyak pengasih’.

Wong Fook Hiong, yang sudah berumah tangga, membeli dua botol bahan itu dalam talian pada harga AS$200 (S$287), menurut laporan Berita Harian edisi online hari ini.

Dia tidak memeriksa kandungan bahan itu sebelum menuangnya ke dalam air minuman wanita tersebut, seorang pensyarah Politeknik Ngee Ann. Wong, 43 tahun, melakukan itu dengan harapan wanita tersebut akan minum air itu dan jatuh cinta padanya.

Pada Selasa (19 Januari), Wong, yang dulu bergaji hingga S$4,505 tetapi kini telah dibuang kerja dan menganggur, dijatuhi hukuman denda maksimum S$1,500 bagi kesalahan cuai membahayakan kehidupan.

Dia mengaku memasukkan bahan tersebut – campuran racun xylazine dan haloperidol – ke dalam botol air wanita berusia 30 tahun itu di Politeknik Ngee Ann pada 12 Januari tahun lepas.

Penolong Pendakwa Raya (APP) N.K. Anitha berkata sekitar November 2014, mangsa minum air dari botol itu dan mendapati ia pahit. Beliau segera meludah keluar air tersebut.

Pada satu masa lain, beliau minum dari botol itu dan juga berasa airnya pahit.

Oleh itu, beliau berhenti minum air dari botol tersebut. Wanita itu mendapati selepas minum, kerongkong beliau menjadi kering dan beliau tidak dapat berfikir dengan jelas. Beliau juga tidak dapat tidur pada waktu malam.

Selepas ini berlaku beberapa kali, beliau memutuskan meletak telefon bimbitnya dalam mod rakaman video di meja pada 12 Januari tahun lalu kira-kira 5.30 petang.

Pada 8 malam itu, beliau ternampak Wong berjalan ke meja beliau dan menuangkan bahan tersebut ke dalam botol air galian di atas meja itu.

Beliau kemudian menggoncang botol itu dan meletakkannya kembali pada kedudukan asal. Wanita tersebut membuat laporan polis esoknya dan Wong ditangkap. Air itu dianalisis dan didapati mengandungi dua racun tersebut.

Xylazine ialah bahan sedatif, analgesik dan relaksan otot yang digunakan dalam perubatan veterinar. Kesannya yang dilaporkan pada manusia termasuk mengantuk, kekeliruan, lesu, tekanan darah rendah, degupan jantung perlahan dan kemurungan pernafasan.

Haloperidol ialah ubat antipsikotik yang digunakan untuk merawat pelbagai psikosis. Ia boleh menyebabkan, antara lain, gegaran, insomnia, hasutan, kegiatan otot berlebihan dan sakit kepala.

APP Anitha berkata Wong mendakwa dia melakukan perbuatan itu dengan harapan wanita tersebut akan jatuh cinta padanya. – BHS

ARTIKEL YANG SAMA