Pegawai digalak bukukan tempat mereka berkhidmat

Pegawai digalak bukukan tempat mereka berkhidmat

KUCHING, 25 Mei – Pegawai pentadbiran negeri yang berkhidmat di lokasi hadapan di Sarawak diminta untuk menulis buku tentang tempat berkenaan, termasuk sejarah dan bagaimana tempat itu mendapat namanya.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata langkah ini akan menambah koleksi karya sastera di negeri ini. “Buku seperti ini juga menjadi bahan yang menarik untuk dibaca dan boleh membantu dalam membuat promosi yang meluas.

“Sebagai contoh, Bandaraya Kuching adalah satu-satunya bandar raya di dunia yang dinamakan bersempena nama haiwan,” katanya ketika melancarkan buku 174 halaman berjudul “Kisah di Sebalik Perkampungan di Daerah Lundu” di sini hari ini.

Buku itu ditulis oleh bekas Pegawai Daerah Lundu Azmi Bujang yang kini merupakan setiausaha sulit kanan beliau. – Bernama