Pegawai FIFA mengaku tidak bersalah

Pegawai FIFA mengaku tidak bersalah

NEW YORK, 4 Nov (Agensi) – Seorang pegawai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berasal dari Brazil yang merupakan penaja utama Piala Dunia 2014 di negaranya mengaku tidak bersalah semalam ke atas dakwaan Amerika Syarikat berhubung kes rasuah yang menjejaskan imej bola sepak dunia.

Jose Maria Marin hadir di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn berikutan arahan ekstradisi dari Switzerland, di mana beliau diberkas pada Mei bersama-sama lima pegawai FIFA dalam serbuan waktu subuh ke atas sebuah hotel mewah di Zurich.

Hakim bersetuju bagi pembebasan defendan berusia 83 tahun itu dengan ikat jamin bon AS$15 juta dan membenarkannya tinggal dengan kawalan ketat di sebuah apartmen New York bernilai AS$3.5 juta sehingga kes beliau selesai.

Marin mendengar perbicaraan melalui seorang penterjemah dan kemudian sempat bertemu dengan isterinya yang turut hadir di mahkamah berkenaan dan menjadi penjamin bon berkenaan.

Pasangan tersebut meninggalkan mahkamah tanpa bercakap kepada para wartawan.

Jose Maria Marin, ketika keluar dari Mahkamah Daerah Timur New York di Brooklyn, New York, pada 3 November 2015. – Reuters
Jose Maria Marin, ketika keluar dari Mahkamah Daerah Timur New York di Brooklyn, New York, pada 3 November 2015. – Reuters

Peguam Marin, Charles Stillman, berkata beliau dan pelanggannya “sudah bersedia dengan kes tersebut.”

Pada julai, seorang lagi pegawai rangking tinggi FIFA, ahli perbankan Kepulauan Cayman Jeffrey Webb, turut mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin bon AS$10 juta. Lima lagi defendan masih berada di Switzerland dan dengan keras menentang arahan ekstradisi.

Pegawai-pegawai FIFA berkenaan adalah di antara 14 orang yang dinamakan dalam pendakwaan AS yang menyatakan mereka berkomplot untuk menguruskan suapan lebih AS$150 juta bagi mendapatkan anugerah hak penyiaran Piala Dunia serta pelbagai kejohanan lain sepanjang tempoh 24 tahun.

Marin dilantik untuk mengetuai jawatankuasa penganjur tempatan Piala Dunia 2014 selepas peletakan jawatan Ricardo Teixeira, yang dibabitkan dalam skandal FIFA sebelumnya kerana menerima suapan berkaitan hak penyiaran Piala Dunia.

ARTIKEL YANG SAMA